PUTRAJAYA, 15 Dis (IKIM) – Kerajaan akan menjadikan pengukuhan institusi kekeluargaan sebagai teras utama pelaksanaan program dakwah berimpak tinggi pada 2026, selaras dengan usaha membentuk masyarakat MADANI yang beradab, sejahtera dan bertanggungjawab.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dato’ Setia Dr. Hj. Mohd Na’im Mokhtar berkata pendekatan dakwah pada tahun hadapan akan memberi keutamaan kepada kualiti serta kesan langsung terhadap kesejahteraan keluarga, termasuk aspek komunikasi, adab serta pengurusan konflik dalam rumah tangga.

“Bagi 2026, kita mahu melihat program dakwah yang benar-benar memberi impak kepada institusi keluarga. Tidak mengapa jumlahnya sedikit, tetapi yang penting ia mampu membentuk masyarakat yang bukan sahaja berilmu, malah beradab,” kata beliau.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Apresiasi Dakwah Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) dan Penutupan Program Dakwah Negara (PDN) 2025 di sini hari ini.
Program tersebut bagi meraikan rakan kerjasama yang turut menjayakan penganjuran PDN 2025. Turut menerima penghargaan, Ketua Pengarah Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), Prof. Madya Dato’ Dr. Mohamed Azam Mohamed Adil atas komitmen liputan media sepanjang PDN 2025.

Mengulas mengenai PDN 2025, beliau berkata walaupun lebih 3,000 program dakwah berjaya dilaksanakan sepanjang tahun ini, kerajaan tidak lagi menjadikan jumlah program sebagai ukuran utama kejayaan, sebaliknya menilai sejauh mana program berkenaan mampu menyumbang kepada pembinaan keluarga yang harmoni dan berdaya tahan.
Mohd Na’im berkata antara aspek yang akan diberi penekanan ialah pendidikan adab dalam penggunaan media sosial, khususnya dalam kalangan pasangan suami isteri, bagi mengelakkan platform digital dijadikan medan meluahkan konflik rumah tangga sehingga mengaibkan pasangan masing-masing.
Menurutnya, pendekatan dakwah berasaskan kekeluargaan perlu membimbing masyarakat supaya menyelesaikan masalah secara berhemah dan berakhlak, tanpa menjejaskan maruah serta keharmonian institusi rumah tangga.

Selain itu, beliau berkata kerajaan menerusi YADIM dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) akan terus melaksanakan program dakwah berfokus kepada kumpulan sasaran tertentu sebagai sebahagian daripada usaha pencegahan isu sosial yang memberi kesan langsung kepada kestabilan keluarga dan masyarakat.
Katanya, pendekatan tersebut memerlukan penglibatan menyeluruh semua pihak dan institusi agama bagi memastikan mesej dakwah dapat disampaikan secara bersepadu dan berkesan kepada seluruh lapisan masyarakat.




