Cinta Rasulullah SAW di Hati

CINTA punya kuasa yang luar biasa yang tidak dapat ditandingi yang bertandang tepat pada masa dan keadaannya. Cinta, nada yang sinonim dengan remaja, melatari kehidupan si belia. Walau janggal pada si tua namun wujudnya mengundang bahagia. Cinta, adalah subjek malar segar yang tidak pernah using dimamah usia dan tidak diantikkan oleh masa.

Cinta di dasari rasa yang berkait dengan hati. Justeru, tumbuh tamsilan jatuh hati saat jiwa rurut dan tersangkut pada rasa kasih , sayang dan cinta. Dalam masa yang sama, hati adalah raja dalam kerajaan diri yang akan menentukan halatuju jasad. Sepertimana sabda baginda Rasulullah SAW mafhumnya: “Ketahuilah bahawa di dalam tubuh manusia terdapat segumpal daging, bila ia baik niscaya seluruh jasad akan baik, dan bila ia rosak, niscaya seluruh jasad akan rosak pula, ketahuilah segumpal daging itu ialah hati”. (HR Bukhari dan Muslim).

Hati akan mengarahkan seluruh pancaindera untuk mengikut halatuju yang di bawanya. Jika dituju kebaikan maka baik perlakuan yang diterjemah oleh pancaundera begitu juga jika hati menghala kepada kejahatan, akan menatijahkan kejahatan pada perbuatan. Oleh itu, Ustaz Pahrol Mohd Juoi menerusi Islam Itu Indah yang bersiaran jam 10.15 pagi di IKIMfm minggu lalu menyarankan agar memenuhkan hati dengan cinta yang baik dan mulia supaya jasad lebih terkawal serta bahagia.

Tiada dua cinta di dalam satu hati. Sewajarnya, ia dipenuhi dengan cinta kepada Ilahi kerana ketika cinta Allah menetap di hati cinta yang lain akan sirna. Namun malang jika hati ditakhluki makhlukNya, nescaya cinta Allah sukar menjengah. Besar peranan cinta di dalam hati seterusnya diri. Melalui al-quran Allah mengulang-ulang kalimat berkaitan cinta tidak kurang daripada 80 kali. Maha Suci Allah, Allah tidak akan meletakkan sesuatu yang picisan dan terpinggir di tempat yang mulia. Walau hanya sekali disebut dalam kitab suci ini sudah dikatogorikan perkara penting apatah lagi jika berulang-ulang termaktub di dalam kalamNya itu.

Allah menegaskan sifat orang mukmin menerusi firmanNya yang bermaksud: “Dan di antara manusia ada orang-orang yang mengangkat sembahan-sembahan selain Allah; mereka mencintainya sebagaimana mencintai Allah. Adapun orang-orang yang beriman sangat cinta kepada Allah.” (Surah Al-Baqarah, ayat 165).

Sesungguhnya seseorang akan menjadi hamba kepada perkara yang di cintainya. Tatkala mencintai seseorang, seluruh tenaga dan upaya akan di pusatkan untuk memburu dan meraih kembali rasa cinta. Segalanya sanggup dikorbankan termasuk masa, harta waimah nyawa sanggup dipertaruhkan bagi membuktikan kecintaan yang mendalam serta mengharap balas redha dari yang dicintai.

Cinta itu buta. Cinta memberi kekuatan untuk menahan dan menempuh dugaan, kepahitan dan kesengsaraan. Tanpa batas baik mahupun buruk cinta yang diburu, pasti akan menagih keputusan, tindakan dan pengorbanan yang tidak terduga. Implikasi cinta yang buruk terkadang berakhir dengan pengadaian maruah diri dan keluarga sehingga pada tahap tinggi akan menyebabkan si pemburu cinta mengambil keputusan membunuh diri. Lain pula cerita jika cinta di arah kepada kebaikan. Juga memberi implikasi pada tahap tinggi, tetapi tinggi dalam nilai sanubari dan harga yang bakal dikecapi.

Contoh terbaik adalah para sahabat yang sanggup mengorbankan seluruh jiwa dan raga ke jalan Allah dan menjadikan diri galang ganti semata-mata bagi menyelamatkan nyawa Rasulullah SAW. Segalanya dilakukan untuk meraih Keredhaan Allah dan kecintaan Rasulullah SAW.

Cinta kepada Si Pemberi cinta adalah fitrah. Ia adalah sumber kepada segala-gala dan seluruhnya. Semua bentuk sumber di seluruh kehidupan di dunia dan akhirat ini berpunca daripadaNya termasuklah kejayaan, kebahagiaan, kekayaan, ketenangan, keadilan dan segalanya. Saat hati dilukai dan merintih inginkan sesuatu, hakikatnya hati dan diri itu sedang menginginkan Allah. Ketika kejahilan membelenggu, ilmu yang di pinta itu juga sebenarnya menunjukkan keinginan diri kepada Yang Maha Bijaksana dan Maha Mengetahui seluruh ilmu yang ada iaitu Allah SWT.

Justeru, yakinlah rasa yang lahir daripada setiap ujian, tekanan, kekurangan dan desakan yang wujud adalah petanda keinginan mendalam kepada Allah. Kualiti kehidupan yang terjejas disebabkan rasa takut dan rasa dukacita akan dapat ditangani menerusi cinta kepada Allah. Mulakan dengan mendekatkan diri kepada perkara dan insan yang dekat dengan Allah terutamanya Rasulullah SAW.

Rencana ini telah disiarkan dalam segmen Agama akhbar Berita Harian edisi 21 Disember 2016
\"2016-12-21\"
Scroll to Top