HUJJATUL Islam Imam Ghazali RA di dalam kitabnya \’Ihya Ulumuddin\’, mendefinisikan akal sebagai sumber ilmu, tempat timbul, dan sendi ilmu. Ilmu itu berlaku daripada akal sebagaimana berlakunya buah-buahan daripada pohon kayu, sinar dari matahari dan penglihatan daripada mata.
Akal ialah satu senjata atau kekuatan pemberian Allah yang amat berharga kepada setiap insan. Antara seluruh makhluk ciptaan Allah, manusialah golongan yang paling sempurna, terindah, terbaik, serta terhormat sekalipun manusia bukan makhluk yang terbesar atau tertinggi. Hal ini diterangkan oleh Allah SWT dalam firman-Nya yang bermaksud: \”Sesungguhnya Kami telah menjadikan manusia dalam bentuk sebaik-baiknya (dan berkelengkapan sesuai dengan keadaan.\” (Surah At-Tin, ayat 4)
Menerusi perbincangan bertajuk “ Fikir Aras Tinggi” dalam rancangan Pesona D’Zahra yang keudarakan di IKIMfm pada Isnin lepas jam 10 pagi, Ustaz Muhammad Abdullah Al–Amin menggariskan tiga tahap cara manusia berfikir. Pertama, manusia yang berfikiran rendah biasanya sering berkeluh kesah. Ia akan terus mengeluh kekurangan dan permasalahan yang sedang ia hadapi. Selain itu, individu yang memilki tahap cara berfikir seperti ini dilihat sebagai seorang yang suka mencari alasan dan memberi komen yang negatif pada sesuatu perkara. Individu yang memiliki tahap berfikr seperti ini kebiasaanya mengungkapkan perkataan seperti “kalau, “tidak boleh” atau mana boleh” Dalam erti kata lain, mereka tidak mahu berfikir lebih daripada itu dengan alasan tidak mahu penat berfikir. Biarlah orang lain fikirkan. Oleh itu, bertindaklah untuk menghentikan perbuatan tersebut. Ini disebabkan mengeluh tidak akan menyelesaikan sebarang masalah yang anda hadapi , malahan mengeluh hanya akan membuang waktu dan tenaga . Seperti yang dinyatakan oleh pengarang buku ‘ Secrets of Millionaire’, T Harv Eker , Mengeluh hanya akan menambah masalah anda.
Berbeza dengan berfiran secara rendah, mereka yang memiliki secara sederhana pula disifatkan sebagai kurang mengeluh terhadap sesuatu perkara yang dialami. Sebaliknya, mereka gemar membicarakan mengenai sesuatu peristiwa dan kejadian. Apabila berhadapan dengan satu peristiwa, mereka hanya mengemukakan pandangan tanpa mencari jalan penyelesaian serta kurang peduli dalam mengambil iktibar dariapada persitiwa tersebut. Sesungguhnya, permulaan kejayaan ialah apabila kita berfikir tentang kejayaan. Permulaan untuk berubah ialah berubahnya cara berfikir. Dengan itu, tidak hairanlah individu yang menjana dan melatih minda ke arah berfikir aras tinggi dianggap sebagai individu yang sentiasa mempunyai wawasan yang tinggi untuk melakar kejayaan. Ini terbukti apabila mereka mempunyai sifat kepekaan dan kesungguhan yang tinggi dalam melaksanakan tanggungjawab yang diamanahkan . Individu memiliki tahap pemikiran aras tinggi sentiasa meletakkan kepercayaan bahawa pemimpin adalah seorang yang memegang amanah bertanggungjawab ke atas tanggungjawab yang dipikulnya, dan apa yang terletak dibawah naungannya. Maka apa yang terletak dibawah perlindungannya adalah dituntut untuk berlaku dengan adil dan membangunkannya dengan menjaga kepentingan dan kemaslahatan dalam agama dan dalam kehidupannya serta yang berkaitan dengannya. Daripada Ibnu Umar, daripada Nabi SAW bersabda: “Ketahuilah Setiap daripada kamu adalah pemimpin, dan setiap daripada kamu akan diminta pertanggungjawaban terhadap apa yang dipimpin. (Hadis Riwayat Bukhari) . Salah satu lagi ciri individu yang mempunyai tahap pemikiran sebegini adalah sentiasa melakukan perancangan yang teliti . Amat jarang kita jumpa orang yang berjaya, tiba-tiba sahaja dia berjaya, tanpa perancangan. Rahsia kecil kebanyakan dari orang yang berjaya ialah, mereka melakukan perubahan yang kecil ke arah matlamat dan perancangan mereka, setiap hari.
Dalam institusi keluarga, amatlah disarankan agar ibu bapa mempelajari serta menyuburkan kaedah untuk mendidik anak-anak mereka agar berfikir aras tinggi. Dalam menangani cabaran mendidik anak-anak sebagai generasi yang berilmu, tidak dapat dinafikan ilmu pengetahuan memainkan peranan yang cukup besar dalam mewarnai corak kehidupan anak-anak. Secara umumnya ,segala apa yang dilihat dan didengari oleh seorang kanak-kanak dari persekitarannya adalah merupakan satu pendidikan baginya kerana yang nyata bagi kanak-kanak di peringkat awal umur, mereka tidak dapat membezakan yang baik dan yang buruk.Oleh itu, menjadi peranan ibu bapa untuk memberi tunjuk ajar dan bimbingan kepada anak-anak mereka berbanding membiarkan sahaja anak-anak tersebut terpengaruh anasir-anasir yang tidak sepatutnya oleh rakan- rakan sebaya . Di samping itu,bagi melahirkan anak-nak berfikir aras tinggi, dinasihatkan agar mendidik mereka untuk sentiasa mensyukuri dengan segala pemberian nikmat yang dianugerahkan oleh Allah SWT.
Secara kesimpulannya, sebagai khalifah di muka bumi ini, cubalah membentuk diri kita agar menjadi manusia yang berfikir aras tinggi. Kita adalah apa yang kita fikirkan tentang diri kita. Bak kata seorang pujangga: Orang yang berminda kecil membicarakan mengenai orang lain; orang yang berminda sederhana membicarakan mengenai peristiwa dan kejadian; dan orang yang berminda besar membicarakan mengenai idea dan keilmuan.
Rencana ini telah disiarkan dalam segmen Agama akhbar Berita Harian edisi 17 Oktober 2016