KUALA LUMPUR, 19 Feb (IKIM) — Kerajaan komited memperkasa wakaf sebagai instrumen pembangunan ummah dan negara melalui pendekatan lebih moden, telus dan inklusif, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr. Zulkifli Hasan.
Beliau berkata demikian ketika melancarkan Sambutan Bulan Wakaf Kebangsaan 2026 yang disiarkan secara langsung dari studio TV AlHijrah hari ini.
Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Waqaf Malaysia (YWM), Dr. Ridzwan Bakar; Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji (JAWHAR), Hairolanuar Mohamad dan Pengerusi TV AlHijrah, Haji Mohd Khair Ngadiron.
Menurut Zulkifli, wakaf merupakan pelaburan akhirat yang memberi manfaat berterusan kepada masyarakat, namun kesedaran masyarakat terhadap potensinya masih rendah berbanding zakat.

“Pada tahun 2024, jumlah kutipan zakat dianggarkan RM4.85 bilion, manakala kutipan wakaf tunai hanya sekitar RM140 juta. Ini menunjukkan masih banyak ruang untuk memperkasa wakaf sebagai instrumen pembangunan sosial dan ekonomi,” katanya.
Beliau berkata, selaras dengan hala tuju negara melalui Rancangan Malaysia Ke-13 dan Belanjawan MADANI 2026, kerajaan memperkenalkan beberapa inisiatif termasuk pembangunan tanah wakaf oleh UDA Holdings Berhad dan pengenalan instrumen Sukuk Wakaf Tunai berasaskan tokenisasi bagi memperluas penyertaan masyarakat.
Zulkifli berkata, Sambutan Bulan Wakaf Kebangsaan 2026 memberi fokus kepada lima teras utama iaitu pembudayaan dan literasi wakaf, tadbir urus berintegriti, pembangunan aset wakaf produktif, pengenalan wakaf bertempoh (wakaf muaqqat) dan pendigitalan wakaf.
Katanya, pelbagai projek wakaf berimpak tinggi telah dilaksanakan termasuk pembinaan stesen minyak, bangunan pejabat, projek pertanian dan inisiatif wakaf pendidikan seperti MyWaqafPTPTN.
Selain itu, usaha memperkukuh ketelusan turut dilaksanakan melalui penggunaan Piawaian Perakaunan Islam bagi Baitulmal, Zakat dan Wakaf yang dibangunkan oleh Jabatan Akauntan Negara Malaysia.

Dalam pada itu, kerajaan melalui Yayasan Wakaf Malaysia akan memperkenalkan aplikasi Go Waqf bagi memudahkan orang ramai berwakaf secara digital.
Melalui platform tersebut, YWM menyasarkan kutipan sebanyak RM1 juta sepanjang Bulan Wakaf Kebangsaan tahun ini.
“Pendigitalan wakaf bukan lagi pilihan tetapi satu keperluan strategik untuk memastikan sistem wakaf lebih cekap, telus dan diyakini,” katanya.
Sebagai langkah sokongan, kerajaan turut memperkenalkan Garis Panduan Pungutan Dana Wakaf Al-Quran (Edisi Kemas Kini) yang disediakan oleh JAKIM dan JAWHAR dengan kerjasama Kementerian Dalam Negeri (KDN) serta agensi berkaitan bagi memastikan pengurusan wakaf dilaksanakan secara berintegriti dan mematuhi syariah.
Zulkifli berkata, usaha tersebut diharap dapat mengangkat wakaf sebagai sektor kebajikan profesional dan berimpak tinggi, sekali gus menjadi pemacu kesejahteraan sosial dan pembangunan negara.




