Dunia hari ini menyaksikan perkembangan teknologi maklumat yang amat pesat. Hampir semua lapisan masyarakat memiliki peranti pintar dan akses tanpa had kepada pelbagai platform media sosial. Dengan hanya beberapa klik, maklumat dalam bentuk teks, video atau infografik boleh tersebar luas dan menjadi tular dalam sekelip mata. Namun, di sebalik kemudahan ini, timbul cabaran besar yang mengancam perpaduan dan kesejahteraan masyarakat iaitu budaya tular yang tidak disaring.
Bahaya Budaya Tular Tanpa Saring
Fenomena budaya tular jika tidak dikawal, boleh membuka ruang kepada penyebaran fitnah, adu domba, dan keaiban yang akhirnya merosakkan keharmonian masyarakat. Seperti kata pepatah Melayu, “Burung yang liar jangan dilepaskan, khabar mustahil jangan didengarkan.” Ini memberi peringatan agar kita tidak mudah mempercayai dan menyebarkan berita yang belum dipastikan kebenarannya. Satu khabar angin yang tidak ditapis mampu mengundang kekacauan dan memporak-perandakan masyarakat dan apabila kerosakan sudah berlaku, penyesalan tidak lagi berguna.
Tanggungjawab Muslim Terhadap Penyebaran Maklumat
Dalam Islam, setiap perbuatan, termasuk ucapan dan penulisan di media sosial, dicatat oleh para malaikat. Bahkan, menyebarkan berita palsu yang mencemarkan nama baik seseorang mukmin adalah satu dosa besar. Rasulullah SAW bersabda, sebagaimana diriwayatkan oleh Abu Daud daripada Abdullah bin Umar RA:
“Dan sesiapa yang mengatakan sesuatu yang tidak benar terhadap seorang mukmin, maka Allah akan menempatkannya di dalam Radghatal Khabal (neraka yang penuh dengan nanah dan darah penghuninya) sehingga dia menarik balik apa yang dikatakannya.”
Sabda ini menjadi amaran keras kepada umat Islam agar tidak sewenangnya menuturkan atau menuliskan sesuatu yang tidak benar, apatah lagi jika ianya berbentuk fitnah.
Aspek Undang-Undang Dalam Penyebaran Kandungan Jelik
Sebagai warganegara Malaysia, menyebarkan kandungan yang menyentuh sensitiviti agama, kaum dan institusi diraja adalah satu kesalahan serius. Menurut Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), sebanyak 3,214 aduan diterima pada tahun 2021 dan 2,804 aduan pada tahun 2022 melibatkan kandungan jelik seperti ucapan kebencian terhadap agama dan kaum. Tindakan sebegini boleh dikenakan hukuman di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588), dengan hukuman denda maksimum RM50,000, penjara selama setahun atau kedua-duanya sekali.
Kesan Negatif Budaya Tular
Antara kesan budaya tular tanpa saring adalah:
1. Fitnah dan aib individu terbongkar secara terbuka – mencemarkan maruah insan lain.
2. Kehormatan dan hak peribadi dicerobohi – menghakis rasa hormat sesama insan.
3. Kepercayaan antara manusia semakin pupus – masyarakat menjadi tidak tenteram dan berpecah.
Islam tidak pernah mengajar umatnya untuk menyebar aib saudara seagama, sebaliknya menganjurkan amalan menjaga maruah dan menggalakkan penyebaran kebaikan.
Peranan Muslim Sebagai Agen Kedamaian
Dalam menghadapi era digital ini, umat Islam harus menjadi agen penyatuan dan keharmonian. Media sosial seharusnya digunakan untuk memperkukuh ukhuwah, menyebarkan ilmu dan menyemai nilai-nilai positif. Hindarilah gosip liar dan provokasi yang memecahbelahkan umat. Ingatlah, umat yang bersatu itu kuat, manakala umat yang berpecah akan menjadi lemah dan mudah dimanipulasi oleh musuh.
Kesimpulan
Khutbah pada hari ini membawa beberapa pengajaran penting:
1. Saring sebelum sebar – menjadi kewajipan setiap Muslim untuk memeriksa kesahihan sesuatu maklumat sebelum dikongsi.
2. Hindari budaya fitnah dan kandungan sensitif – kerana ia bukan sahaja berdosa, bahkan melanggar undang-undang negara.
3. Sebarkan kebaikan dan perdamaian – jadikan media sosial sebagai wadah menyatukan umat, bukan memecahbelahkannya.
Akhir kata, marilah kita pupuk budaya celik maklumat: budaya menyaring sebelum menyebar, menjaga aib saudara, dan mendidik dengan kasih sayang. Semoga Allah SWT memelihara lidah dan jari jemari kita daripada menyakiti orang lain, serta menjadikan kita insan yang menyebarkan kebaikan dan membawa rahmat kepada masyarakat.
“Budaya Tular – Saring Sebelum Sebar. Sebarkan kebaikan, elakkan kebinasaan.”
**Artikel ini diolah dari Khutbah Jumaat Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) bertarikh 13 Jun 2025