PUTRAJAYA, 22 Oktober (IKIM) – Budaya penggunaan berlebihan tidak sewajarnya diraikan oleh masyarakat hari ini. Pendekatan Islam mengajar penggunaan berlebih-lebihan merupakan satu petunjuk kepada amalan pembaziran dan sikap yang boros.
Prof. Dato’ Dr. Muhammad Nur Manuty, Pengerusi Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) berkata isu penggunaan berlebihan ini adalah teras kepada pelbagai isu persekitaran yang lain misalnya kekurangan sumber, peningkatan sisa dan perubahan iklim. Hal ini akhirnya akan menjejaskan mutu hidup masyarakat serta memberi tekanan kepada ekonomi sesebuah negara.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan ‘Seminar Penggunaan Mampan : Asas Kelestarian Alam Sekitar dan Kesejahteraan Masyarakat’ anjuran IKIM di sini, hari ini.
“Saya ingin mengajak kita semua untuk berfikir di luar penyelesaian tradisional dan mempertimbangkan cara inovatif untuk menangani cabaran dalam corak penggunaan ketika ini,” katanya.
Tambah beliau perbincangan serta resolusi-resolusi menerusi seminar ini perlu direalisasikan secara bersama dengan program turun padang serta kerja-kerja sukarelawan. Seminar sehari ini diharap bukan sahaja membantu meningkatkan kesedaran semua pihak tetapi bakal menawarkan peluang untuk kita sama-sama komited kepada perubahan cara hidup yang sebenar.
Katanya lagi, penganjuran seminar ini merupakan sesuatu yang tepat pada masanya dan selari dengan kerangka Membangunkan Malaysia MADANI berlandaskan kepada enam tonggak utama iaitu kemampanan, kesejahteraan, daya cipta, hormat, keyakinan, dan ihsan. Dalam konteks alam sekitar, setiap prinsip ini menyumbang kepada pembentukan Malaysia yang lebih lestari dan harmoni, memastikan kesejahteraan rakyat serta kelestarian bumi terus terpelihara untuk generasi akan datang.
Sebanyak 7 kertas cadangan dibentangkan dalam seminar ini termasuk ucaptama bertajuk ‘Penggunaan Mampan : Teras Kelestarian Bumi Kini dan Masa Hadapan’ yang disampaikan oleh Prof. Emeritus Datuk Dr. Azizan Baharuddin dari Universiti Malaya.
Turut hadir dalam seminar ini Prof. Madya Dato’ Dr. Mohamed Azam Mohamed Adil, Ketua Pengarah IKIM dan Dr. Mohd Zaidi Ismail, Timbalan Ketua Pengarah IKIM.