Binalah Kekuatan Dalam Melalui Liku-liku Kehidupan

\”Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah banyak dari prasangka, sesungguhnya sebahagian daripada prasangka itu adalah dosa, dan janganlah kamu mencari-cari kesalahan orang lain, dan janganlah sebahagian daripada kamu yang sebahagian daripada yang lain. Apakah ada di antara kamu yang suka memakan daging saudaranya yang sudah mati? Tentu kamu merasa jijik. Dan bertakwalah kepada Allah,sesungguhnya Allah Maha Penerima Taubat, Maha Penyayang.\”[Surah Hujurat,ayat 12)

Ustaz Muhamad Abdullah al Amin dalam rancangan Pesona D\’Zahra yang bersiaran di IKIMfm pada Isnin minggu lalu jam 10.15 pagi berkata usah  tewas dengan hasutan syaitan, cari kembali kekuatan kita kerana kekuatan itu ada dalam diri kita masing-masing. Yakin dengan diri, kuatkan azam dan cita-cita. Usah tonjolkan kelemahan kita pada syaitan kerana syaitan tidak pernah berhenti menghasut agar kita lemah-selemahnya. Kita perlu tahu selepas ujian itu selesai, satu lagi ujian akan datang, maka bersedialah dalam menghadapi ujian yang seterusnya. Untung bagi mereka yang selalu diberi ujian tanda Allah swt sayang padanya. Semoga kita sentiasa menjadi hambaNya yang sentiasa redha atas ujian dan ketentuan Allah swt. Apa yang ditetapkan untuk kita itulah yang terbaik.  Berdoalah kepada Allah, Allah lah tempat kembali segala masalah yang sering membelenggu diri kita. Jangan malu untuk merayu-rayu, meminta-minta, memohon-mohon kepada Allah swt. Selalu diingatkan yang Allah tidak pernah jemu mendengar rintihan hambaNya, Allah itu Maha Mendengar.

Selain itu Ustaz Muhammad menghuraikan  bahawa setiap manusia yang Allah ciptakan  sentiasa akan diberi musibah, ujian atau masalah hidup di dunia yang sementara ini. Tipu jika seseorang itu berkata jika  dia tidak pernah ditimpa musibah. Setiap orang ada masalahnya tersendiri, Allah SWT menguji dengan pelbagai ujian tetapi sebabnya adalah sama. Allah menguji seseorang itu kerana Allah SWT mempunyai rahsianya tersendiri, sama ada Allah hendak tambah iman kita atau hendak uji sejauh mana keimanan kita. Dan kerana sesuatu ujian itulah yang membuka mata hati kita, yang mendidik kita agar jangan mudah putus asa dalam kehidupan yang bagaikan bahtera dilautan yang penuh dengan onak duri, ujian juga dapat mematangkan kita. Kadang-kadang kita tertanya-tanya, mempersoalkan kepada Allah SWT kenapa kita diberi ujian yang berat sebegitu sekali? Sehingga kita terlupa pada siapa yang perlu kita mengadu segala masalah kita,pada siapa kita harus minta kembali kekuatan kita.

Jika kita anggap diri kita ditimpa musibah yang besar kita hendaklah ingat bukan kita sahaja yang mengalaminya, mungkin ada sahabat-sahabat kita atau saudara seagama dengan  kita yang lain menghadapi musibah yang sama bahkan lebih teruk atau lebih besar daripada  kita. Bukankah Allah telah berkata dengan jelas di dalam Al-Quran yang Allah tidak akan sekali-kali menguji hamba-Nya di luar kemampuan hamba-Nya. Allah SWT  menguji seseorang bukan kerana Allah benci kepada kita tetapi percayalah yang Allah sangat kasih kepada kita. Cuma kita sebagai hamba-Nya tidak pernah hendak bersabar dalam menghadapi ujianNya. Pasti Allah telah aturkan yang terbaik buat kita kerana setiap yang berlaku ada hikmahnya. Alihkan pandangan mata ke arah Laut, airnya cantik membiru dan penuh dengan ketenangan. Tetapi hanya Allah sahaja yang mengetahui rahsia di dalamnya. Begitu juga dengan kehidupan manusia, riang dan ketawa tetapi hanya Allah yang mengetahui rahsia kehidupan.

Terdapat empat perkara yang boleh membina kekuatan dalam melalui liku-liku kehidupan antaranya ialah, pertama, tegas yang berilmu (boleh buat keputusan) antara watak para Sahabat itu ada yang disebut: asy syidda`u `alal kuffa, bererti tegas dengan orang kafir . Apa yang dimaksudkan tegas di sini? Bagaimana sikap tegas Rasulullah SAW dan para Sahabat berhadapan dengan orang kafir? Maksud tegas di sini ialah walau di mana kita berada, dalam bergaul dengan orang kafir, kita tetap tegas dengan prinsip. Misalnya, apabila  tiba waktu sembahyang, kita sembahyang, yang patut jaga aurat, kena jaga aurat, yang perlu jaga akhlak, kena jaga akhlak, walau dalam suasana apa sekalipun. Tegas itu bermaksud berpegang teguh dengan syariat Islam walau di mana sekalipun. Tegas itu bukannya bererti keras, kasar, berdemonstrasi, bergaduh, maki hamun dan sebagainya.

Keduanya, perlu ada gurauan di dalam rumah tangga Dalam bersenda dan bergelak ketawa dengan isteri, suami hendaklah seimbangkan di antara sifat lemah lembut dan tegas. Ertinya, di samping suami merendahkan taraf sebagai seorang lelaki dengan isteri, janganlah sampai kehebatan seorang suami hilang sama sekali. Maknanya dalam bergurau itu, kehormatan seorang suami tetap dijaga. Sebagai suami, hendaklah sentiasa mengawal syariat ketika bergurau. Jangan biarkan si isteri mengikut hawa nafsunya hingga rosak akhlak dan jangan beri peluang kemungkaran berlaku. Sesiapa yang bergurau dengan isterinya berlawanan dengan kehendak syariat, lelaki itu dayus. Syurga tidak menerima lelaki dayus. Ketiga, biar ada kejutan-kejutan (kejutan yang baik) antaranya berhadiah-hadiah antara  kamu. Ini juga sesuatu yang penting dalam hubungan berumah tangga, memberikan kejutan dan hadiah-hadiah yang kecil saja.Keempat, menahan marah. Dalam satu hadis yang diriwayatkan oleh Abu Daud dan Tirmizi, Baginda SAW bersabda; “Sesiapa yang menahan marahnya sedangkan dia mampu melempiaskan marahnya, Allah akan memanggilnya dari kalangan makhluk pada hari kiamat dan dia diberi peluang memilih bidadari yang ia sukai di syurga.”

Kesimpulannya , kebahagiaan yang hakiki adalah di akhirat sana. Kepahitan didunia diiringi dengan kesabaran akan menjanjikan kebahagiaan disana, sebaliknya kepahitan dan secebis penderitaan didunia diiringi dengan kelalaian pada Tuhan dan melakukan perkara yang mengundang kemurkaannya akan menerima azab akhirat yang terlalu pedih.

Rencana ini telah disiarkan dalam segmen Agama akhbar Berita Harian edisi 9 Mei 2016
\"2016-05-09\"
WhatsApp
Scroll to Top