SABAR itu adalah sifat orang mulia. sebab itu di dalam al-Quran, banyak kali disebut anatara sifat orang yang akan masuk syurga adalah orang yang bersabar, maksudnya kalau kita bersabar, kita akan layak untuk masuk sysurga. Ustaz Muhammad Abdullah Al-Amin memetik Surah Al-Muzzammil ayat 10 bermaksud “Dan bersabarlah terhadap apa yang mereka ucapkan) bersabarlah kamu di dalam menghadapi gangguan orang-orang kafir Mekah (dan jauhilah mereka dengan cara yang baik) tanpa keluh-kesah; ayat ini diturunkan sebelum ada perintah memerangi mereka” Bertolak daripada sifat-Nya Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang itu, Allah memerintahkan sekalian hamba-Nya supaya kasih mengasihi antara satu sama lain. Seseorang hamba hanya akan memperoleh kasih sayang Allah apabila dia mengasihi makhluk-Nya.
Kasih sayang sesama insan akan membuahkan sikap bertolak ansur, hormat menghormati serta sedia berkorban demi kebahagiaan insan tersayang.Kedamaian dan kasih sayang adalah teras paling utama dalam hubungan suami isteri. Perkahwinan yang tidak didasarkan kepada perasaan kasih terhadap satu sama lain, tidak disulami dengan kemesraan adalah satu perkahwinan yang tidak bahagia dan tidak bermakna.
Lantaran, Allah menjadikan perasaan kasih mesra antara suami dan isteri sebagai satu sunnah yang ada padanya tanda kekuasaan dan keagungan. Ini seperti firman-Nya yang bermaksud: \”Dan antara tanda yang membuktikan kekuasaan dan rahmat-Nya, bahawa Dia menciptakan untuk kamu isteri daripada diri kamu sendiri supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya, dan dijadikan antara kamu perasaan kasih sayang dan belas kasihan. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan yang menimbulkan kesedaran bagi orang yang berfikir.\” (Surah ar-Rum, ayat 21).
Justeru, Rasulullah SAW sering menasihati suami sebagai ketua keluarga supaya melayani isteri dengan sebaik-baiknya.Isteri mempunyai hak untuk mendapat layanan sebaik-baiknya.Suatu ketika, ramai isteri datang menemui isteri Rasulullah mengadu mengenai layanan buruk yang diterima daripada suami mereka. Tidak dapat dinafikan, sebagai manusia masing-masing ada kelemahan dan kekurangan sama ada isteri mahupun suami. Cara terbaik untuk mengatasinya ialah dengan bersabar dan tidak membesar-besarkan kelemahan itu.
Firman Allah bermaksud: \”Dan bergaullah kamu dengan mereka (isteri kamu) dengan cara yang baik. Kemudian jika kamu (berasa) benci kepada mereka (kerana tingkah lakunya, janganlah kamu terburu-buru menceraikannya) kerana boleh jadi kamu bencikan sesuatu, sedangkan Allah hendak menjadikan pada apa yang kamu benci itu kebaikan yang banyak untuk kamu.\” (Surah an-Nisa, ayat 19).
Diriwayatkan bahawa Rasulullah pernah bersabda yang bermaksud: \”Mana-mana lelaki yang bersabar di atas keburukan perangai isterinya, Allah akan berikannya pahala seperti yang diberikan kepada Ayyub kerana bersabar di atas bala yang menimpanya. Dan mana-mana isteri yang bersabar di atas keburukan perangai suaminya, Allah akan berikannya pahala seperti yang diberikan kepada Asiah binti Muzahim, isteri Firaun.\”
Sebagai kesimpulan, sama-sama kita renungi kisah seorang lelaki yang mengunjungi Umar bin Khattab untuk mengadu mengenai perangai isterinya. Dia berdiri di luar pintu menunggu Umar keluar. Tiba-tiba dia terdengar isteri Umar sedang meleterinya, sedangkan Umar diam tidak menjawab walau sepatah pun. Lelaki itu beredar sambil berkata kepada dirinya sendiri: \”Kalau beginilah keadaan Umar, seorang Amirulmukminin yang selalu keras dan tegas, maka bagaimana dengan aku?\” Selepas itu Umar keluar dari rumahnya dan melihat lelaki tadi beredar. Umar memanggilnya dan bertanya tujuan kedatangannya. Lelaki itu berkata: \”Wahai Amirulmukminin, aku datang untuk mengadu mengenai perangai isteriku yang buruk dan suka berleter kepadaku. Tadi aku mendengar isteri anda pun begitu juga. Lalu aku berkata kepada diriku: ‘Kalau begini keadaan Amirulmukminin dengan isterinya, maka bagaimana dengan aku?\” Umar berkata kepadanya: \”Wahai saudaraku, sesungguhnya aku bersabar mendengar leterannya kerana dia mempunyai hak ke atas aku. \”Sesungguhnya dia memasak makanan aku, mengadun roti untuk aku, membasuh pakaian aku dan menyusui anakku, padahal semua itu tidak diwajibkan ke atasnya. \”Dia juga menenangkan hatiku daripada melakukan perbuatan yang haram (zina). Sebab itulah aku bersabar dengan kerenahnya. Lelaki itu menjawab: \”Wahai Amirulmukminin, demikian jugalah isteriku.\”Umar pun berkata kepadanya: \”Maka bersabarlah wahai saudaraku. Sesungguhnya kerenahnya itu tidak lama, hanya seketika saja.\”
Rencana ini telah disiarkan dalam segmen Agama akhbar Berita Harian edisi 7 Ogos 2017