BENGKEL “AL-QURAN DAN KESIHATAN MENTAL : GAYA HIDUP MODEN, KEMURUNGAN DAN KECENDERUNGAN BUNUH DIRI”

KUALA LUMPUR, 3 Sept (IKIM) — Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) telah mengadakan Bengkel “Al-Quran dan Kesihatan Mental : Gaya Hidup Moden, Kemurungan dan Kecenderungan Bunuh Diri” bertempat di Dewan Memorial Tun Hussein Onn, Arkib Negara Malaysia, Jalan Dato’ Onn, Kuala Lumpur pada 3 September 2024. Bengkel ini merupakan kesinambungan bagi siri Bengkel al-Quran dan Kesihatan Mental yang sudah beberapa kali diadakan oleh Institut Kefahaman Islam Malaysia.

Pada kali ini, persoalan utama yang dibangkitkan ialah hubung kait antara gaya hidup moden dengan peningkatan kes bunuh diri. Bengkel ini juga telah membahaskan persoalan tentang penyebab utama tekanan mental dengan mengambil kira perspektif psikologi moden dan juga perspektif pemikiran Islam bagi mendapatkan sudut pandang yang adil dan holistik.
 
Bengkel sehari ini dimulakan dengan sesi pertama yang bertajuk “Al-Quran dan Kesihatan Mental” yang disampaikan oleh En. Md. Asham bin Ahmad, Felow Kanan Pusat Kajian Syariah dan Undang-undang, IKIM. Beliau telah menghuraikan tentang kandungan al-Quran sebagai terapi bagi pemulihan kesihatan mental.
 
Sesi kedua bertajuk “Kemurungan dan Cubaan Membunuh Diri dalam Kalangan Remaja di Malaysia” disampaikan oleh YBrs. Prof. Madya Dr. Norhayati binti Ibrahim daripada Pusat Kajian Penuaan Sihat dan Kesejahteraan, Fakulti Sains Kesihatan, Universiti Kebangsaan Malaysia. Antara perkara yang disentuh adalah faktor kecenderungan pemikiran yang merangkumi faktor genetik dan biologi yang akhirnya mencetus tingkah laku bunuh diri.


 
Sesi ketiga pula bertajuk “Panduan Kaunseling Bagi Kes Cubaan Bunuh Diri” disampaikan oleh Puan Ummu Nazra binti Nadzam yang merupakan Ahli Klinikal Psikologis Berdaftar. Beliau telah memberi pendedahan dan berkongsi pengalaman yang dihadapi oleh pesakit kesihatan mental dan kejayaan melalui cabaran dalam mendapatkan rawatan sehingga mencapai kesembuhan.
 
Sesi terakhir, iaitu sesi keempat telah disampaikan oleh En. Khairul Azhar bin Idris, Felow, Pusat Kajian Ekonomi dan Kemasyarakatan, IKIM yang membawa tajuk “Tekanan Perasaan di Tempat Kerja-Punca, Rawatan dan Pencegahan”. Antara kandungan dalam kertas kerja ini ialah berkaitan dengan isu-isu kesihatan mental semasa, kesan terhadap kehidupan dan cara rawatan serta pencegahannya.

Scroll to Top