KUALA LUMPUR, 10 Okt (IKIM) – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menegaskan komitmen kerajaan untuk terus menghargai jasa dan sumbangan penjawat awam melalui pemberian Bantuan Khas Kewangan (BKK)sebanyak RM500 kepada semua penjawat awam Gred 56 ke bawah termasuk lantikan kontrak.
Dalam pembentangan Belanjawan 2026 di Dewan Rakyat hari ini, beliau turut mengumumkan pemberian RM250kepada semua pesara kerajaan termasuk veteran berpencen dan tidak berpencen, yang akan disalurkan pada awal Mac 2026 sempena sambutan Aidilfitri.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, bantuan ini merupakan sebahagian daripada penghargaan kerajaan terhadap peranan besar penjawat awam dalam melaksanakan dasar-dasar Malaysia MADANI. Ia turut mengambil kira peningkatan gaji tahun 2026 melibatkan penambahan RM18 bilion, disertai pemberian Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) secara bulanan.
Kerajaan juga memperuntukkan RM2.2 bilion bagi membina, menyelenggara dan membaiki kuarters penjawat awam termasuk untuk doktor, jururawat, tentera, polis, guru, bomba dan pegawai penjara.
Selain itu, Skim Pembiayaan Perumahan Muda di bawah LPPSA dilanjutkan hingga 31 Disember 2026, dijangka memanfaatkan 48 ribu penjawat awam muda di bawah umur 30 tahun. Had maksimum pembiayaan LPPSA turut dinaikkan kepada RM1 juta, sejajar dengan pelarasan gaji dan nilai semasa hartanah.
Bagi mengiktiraf kecemerlangan dalam perkhidmatan, kerajaan memperluas pelaksanaan Bantuan Insentif Berasaskan Prestasi kepada kumpulan pengurusan dan profesional dalam perkhidmatan awam.
Langkah ini memberi peluang kepada pegawai cemerlang yang lama berkhidmat tetapi belum dapat dinaikkan pangkat untuk menerima insentif khas bersamaan satu Kenaikan Gaji Tahunan (KGT).
Mulai 1 Januari 2026, kerajaan turut mengumumkan kenaikan gaji hakim sebanyak 30 peratus, mengambil kira kali terakhir pelarasan dibuat pada tahun 2015.
Anwar menegaskan, langkah itu sebagai pengiktirafan terhadap integriti dan kebebasan badan kehakiman yang kini dilihat semakin berwibawa.
Kerajaan turut menaikkan kadar Bantuan Sara Hidup kepada 4,000 pesara kontrak KEMAS daripada RM300 kepada RM500 sebulan.
Sementara itu, 70,000 guru Kelas al-Quran dan Fardu Ain (KAFA), guru takmir, imam, bilal, tok siak, noja dan marbut akan menerima sumbangan khas RM500 dengan peruntukan RM35 juta.
Sebagai tanda penghargaan terhadap jasa perwira negara, hampir 120,000 pemegang Pingat Jasa Malaysia juga akan menerima bayaran khas RM500 melibatkan peruntukan RM60 juta.
Dalam semangat kebertanggungjawaban, Perdana Menteri menegaskan bahawa semua anggota Jemaah Menteri akan terus membuat pemotongan gaji sebanyak 20 peratus, sebagai tanda solidariti dan keprihatinan terhadap rakyat.
Belanjawan 2026 sekali lagi memperlihatkan kesungguhan kerajaan dalam mengangkat martabat penjawat awam sebagai tulang belakang pentadbiran negara, dengan prinsip ihsan, integriti dan amanah sebagai teras perkhidmatan.