SYAIR Arab menyebut “Hendaklah kamu mencontohi orang yang mulia walaupun kamu tidak seperti mereka, kerana mengikuti orang yang mulia itu satu kejayaan”. Sedangkan mengikuti orang yan mulia sdah dikatakan satu kejayaan. Inikan pula mengikut para sahabat dan golongan tabi’in. Sekiranya kita berbicara mengenai orang soleh, Saidina Sufyan Ibn Uyainah menyebut “ketika disebut nama orang-orang soleh, akan turun rahmat”. Begitulah muqaddimah segmen terbaharu di IKIMfm, Ibrah (Salafus Soleh) yang bersiaran setiap Isnin, 5.15 petang menggantikan Hayatus Sahabah. Perkongsian Ibrah ini diceritakan oleh Ustaz Muhadir Haji Joll.
Pernah disebutkan oleh Saidina Abdullah Ibn Umar “Sesiapa yang mahu mengambil iktibar mahupun pengajaran, hendaklah dia mengambil pengajaran orang yang telah mati”. Mengapa begitu? Persoalan ini dijawab oleh Saidina Ibn Mas’ud “Hendaklah kamu ikut jejak langkah kehidupan orang yang telah mati kerana orang yang hidup tidak mungkin selamat sepenuhnya daripada fitnah”.
Ustaz Muhadir turut berkongsi mengenai kelebihan mempelajari kisah orang soleh, antaranya akan dihapuskan dosanya oleh Allah SWT. Disebutkan oleh Saidina Muadz Ibn Jabal, hadith Rasulullah SAW ini diriwayatkan oleh Imam Al-Dailami dalam musnad al-Firdaus “Menyebut kisah para-para nabi, termasuk ibadah. Menyebut kisah orang-orang soleh, penghapus dosa. Mengingati kematian adalah sedekah dan mengingatkan kubur akan mendekatkan kamu kepada syurga”.
Mendengar ksah-kisah orang soleh boleh menghidupkan hati yang mati. AS-Syeikh Othman menyebut di dalam kitabnya “Irsyadul ‘Ibad” bahawa Nabi SAW menyebut “Hendaklah kamu duduk bersama dengan ulama (duduk di dalam majlis ilmu mereka) dan mendengar perkataan para hukama’ kerana Allah SWT menghidupkan hati yang mati dengan nur hikmah sebagaimana Allah SWT menghidupkan bumi yang mati dengan air hujan”.
Ustaz menambah lagi sekiranya kita mendengar kisah-kisah orang soleh juga adalah menjadi tentera-tentera Allah yang akan meneguh dan mententeramkan hati. Al-Imam Junaid Al-Baghdadi mengatakan “kisah orang-orang soleh merupakan tentera daripada tentera-tentera Allah SWT. Allah menetapkan hati para kekasihNya dengan kisah-kisah tersebut”.
Mendengarkan kisah-kisah orang soleh ini untuk mendapatkan ibrah dan pengajaran buat diri kita. Kisah orang-orang soleh bukanlah perkara yang sia-sia yang hanya kita dengar tanpa sebarang pengajaran. Kisah mereka ini merupakan satu pengalaman. Ustaz menyebut, pengalaman merupaka guru yag tidak pernah berbohong kerana pengalaman merupakan sesuatu yang sudah pasti ditempuhi. orang-orang soleh ini hidu dan menjalani kehidupan mereka. Maka, apa yang mereka lalui itu dijadikan pengalaman buat mereka dan kita perlu mengambil pengajaran atas setiap perkara baik yang mereka lakukan.
Firman Allah SWT menerusi surah Al-Anaam ayat 90 yang bermaksud “Mereka (nabi-nabi) itulah, orang-orang yang telah diberi petunjuk oelh Allah, maka turutlah olehmu (Wahai Muhammad) akan petunjuk mereka…”.
Al-Imam Abu Hanifah mengatakan “Hikayat-hikayat tentang para ulama’ dan kebaikan mereka itu, lebih aku sukai daripada banyaknya ilmu feqah kerana hikayat-hikayat ini memuatkan adab-adab dan akhlak mereka itu”. Kadangkala kisah-kisah mereka itu menjadi teladan yang juga terdapat hokum hakam mengenai perkara agama.
Menurut Muhammad Ibn Yunus “Tidak ada yang lebih memberi manfaat bagi hati selain mendengar riwayat orang-orang soleh”. Antaranya apabila kita mendengarkan mengenai kisah orang-orang soleh terdahulu bagaimana ujian hidup mereka. Pastinya lebih hebat berbanding kita. Pastinya ini menjadi ubat hati untuk kita lebih redha dan terima setiap daripada ujian Allah SWT kepada diri kita yang mungkin jauh lebih ringan daripada ujian mereka yang terdahulu.
Malek Ibn Dinar menyatakan ‘Cerita-cerita orang soleh adalah permata-permata syurga”. Permata-permata syurga adalah sesuatu yang sangat mahal untuk kita pelajari. Maka, beruntunglah kita yang berjaya mempelajari kisah-kisah mereka. Para Ulama’ lain mengatakan “pelajarilah kisah orang soleh kerana ia adalah butiran-butiran mutiara. Kemungkinan terdapat di kalangan mutiara itu, satu mutiara yang sangat mahal dan memberi nilai yang mahal juga dalam hidup kita”.
Selain itu, kisah orang soleh ini juga menghiburkan hati, menyegarkan fikiran dan memberikan semangat untuk melakukan kebaikan. Para Ulama’ hadith terdahulu menganjurkan kisah-kisah yang menyentuh perasaan disebutkan di dalam pengajian hadith kerana ia dapat menghiburkan hati da menyegarkan fikiran.
Akhir sekali Ustaz berkongsi mengenai adab sekiranya nama orang-orang soleh disebut. Imam Al-Nawawi menyebut “Ketika nama seorang sahabat nabi disebut, kita dianjurkan untuk menyebut ‘radhiAllahu Anhu’. Sekiranya kita mendengar nama-nama orang soleh, sunat kita baca ‘rahimahullah’. Begitulah bagaimana kisah-kisah orang-orang soleh banyak memberi pengajaran dalam kehidupan kita dan kita seharusnya mengambil iktibar dan teladan atas setiap perkara kebaikan yang mereka lakukan.
Rencana ini telah disiarkan dalam segmen Agama akhbar Berita Harian edisi 11 Julai 2017