BARAKAH PIT STOP: INISIATIF MASJID WILAYAH PERSEKUTUAN BANTU PENUNGGANG MOTOSIKAL DAN PEMANDU P-HILING

KUALA LUMPUR, 17 Mac (IKIM) – Masjid Wilayah Persekutuan memperkenalkan Barakah Pit Stop, inisiatif khas untuk penunggang motosikal dan pemandu p-hailing yang saban hari mencari rezeki di jalan raya.

Program ini menyediakan ruang persinggahan bagi berehat, mengecas telefon, menikmati makanan dan minuman percuma (selain bulan Ramadan), serta memudahkan mereka menunaikan solat di masjid.

Inisiatif ini dirasmikan oleh Senator Dr Zulkifli Hasan, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), yang menekankan kepentingan masjid sebagai tempat rehat yang selamat, menenangkan jiwa dan mendekatkan diri kepada Allah Subhanahu wa-Ta’ala.

Sebagai sokongan, Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) menyerahkan cek berjumlah RM105,000 kepada Pertubuhan Kebajikan Prihatin Insan Kuala Lumpur dan Selangor (PEKERTI) bagi menjayakan program ini serta memastikan manfaat zakat terus sampai kepada golongan yang memerlukan.

Inisiatif Barakah Pit Stop dijangka diperluaskan ke masjid lain, memberi lebih ramai penunggang dan pemandu p-hailing peluang menyinggah ke rumah Allah serta meraih keberkatan.

Tambahannya, program ini juga bertujuan membina kesedaran dalam kalangan masyarakat tentang kepentingan menjaga kesejahteraan golongan pekerja jalanan dan memastikan mereka mendapat ruang yang selamat dan selesa untuk berehat.

Gambar : Aqil (Media YBM HEA)

WhatsApp
Scroll to Top