IPOH, 26 Jun – Islam menegah keras perlakuan pecah amanah dan salah guna kuasa dalam kalangan mereka yang telah diberikan amanah, jawatan serta kuasa dalam urusan kutipan dan pengagihan zakat, titah Sultan Perak Sultan Nazrin Shah.
Baginda bertitah keyakinan umat Islam terhadap institusi terlibat dengan urusan zakat termasuk Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk) hendaklah terus ditingkatkan melalui tadbir urus yang cekap, amanah, telus dan berintegriti.
Sultan Nazrin bertitah Rasulullah SAW menganggap pemberian sedemikian meragukan, dikhuatiri mengandungi elemen rasuah lalu menasihati Al-Lutabiyyah menyerahkan kembali hadiah berkenaan kepada pemberinya.
Sultan Nazrin bertitah supaya kisah Al-Lutabiyyah itu dijadikan sebagai pedoman dan rujukan, dijadikan tanda aras budaya serta etika kerja yang amanah, telus dan berintegriti dalam kalangan warga kerja MAIPk serta warga kerja Pusat Zakat.
“Pelbagai pihak baik secara perseorangan begitu juga melalui organisasi berperanan penting memungkinkan kutipan zakat semakin meningkat.
“Beta menghargai sokongan Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri dan Pejabat Kewangan Negeri yang bersetuju memperkenalkan dan melaksanakan skim bayaran zakat melalui potongan gaji bulanan kakitangan,” titah baginda.
Sultan Nazrin bertitah konsep membentuk dan meningkatkan kesedaran itu perlu bermula dari rumah dan orang terdekat.
Baginda turut berbesar hati disembah maklum bahawa MAIPk merupakan satu-satunya institusi di negeri ini, yang 100 peratus warganya memberikan persetujuan menunaikan zakat melalui skim potongan gaji dan elaun, bermula daripada Yang Dipertua, ahli-ahli Majlis sehingga kepada kakitangan yang paling rendah pendapatannya.
Baginda bertitah zakat berperanan sebagai instrumen utama menjamin keadilan sosial, mengangkat martabat golongan yang memerlukan dan merapatkan jurang antara golongan kaya dengan miskin.
Baginda bertitah kaedah bayaran zakat secara tradisional itu berlangsung atas semangat percaya-mempercayai, tanpa mempunyai rekod kutipan, data agihan yang tersusun serta sukar dipastikan ketepatan pengiraan dan agihan, selain keberkesanannya memenuhi falsafah serta matlamat pungutan zakat.
Turut hadir pada majlis itu Menteri Besar Datuk Seri Saarani Mohamad dan Yang Dipertua MAIPk Tan Sri Mohd Annuar Zaini.
Sumber: BERNAMA