Akhirat Nilaiannya Terlebih Besar

HABIB Ali bin Abu Bakar bin Sheikh Abu Bakar bin Salim, seorang ulama dari Majlis Fatwa Darul Mustafa Yaman ketika mengisi slot Topik Jumaat di radio IKIMfm jam 9.00 pagi lalu telah berkongsi tajuk “Pemikiran yang benar berdasarkan petunjuk Baginda SAW”.  Beliau memulakan bicara dengan mengingatkan bahawa umat Islam sewajarnya melahirkan rasa kesyukuran dan kegembiraan dengan diutusnya Baginda SAW kerana dengan kelahiran Baginda SAW itu dan nubuwwahnya itu telah mengenalkan kita dengan ajaran Islam dan Allah SWT. Baginda SAW juga telah mengajar kita berfikir dengan benar di mana meletakkan nilaian akhirat itu melebihi nilaian duniawi. Pemikiran yang benar adalah amat penting bagi setiap manusia kerana melalui pemikiran yang benar akan menjadikan kehidupan ini penuh dengan kebahagiaan kerana tindakan-tindakan kita betul dan menepati perintah Allah SWT.

Kewajipan bagi kita mengambil Baginda SAW sebagai suri teladan ini jelas sekali melalui titah perintah Allah SWT yang berbunyi “Sesungguhnya pada diri Baginda SAW itu ada contoh teladan bagi kamu iaitu bagi mereka yang beriman dengan Hari Akhirat dan mengingati Allah SWT dengan banyaknya”  (Surah al-Ahzab:21). Baginda SAW juga bersabda dengan mafhumnya “Sesiapa yang mentaati aku, maka dia akan masuk ke dalam Syurga, sesiapa yang mengengkari aku (berbuat maksiat) maka dia enggan, dan sesiapa yang enggan maka dia tidak akan masuk Syurga”.  Cuba perhatikan mafhum Hadith SAW yang disebut itu jelas sekali Baginda SAW dengan segala rahmat dan kasih sayangnya Baginda SAW tidak menyebut orang yang berbuat maksiat itu akan dimasukkan ke dalam Neraka, tetapi beliau menyebut sebagai “enggan masuk Syurga”. Ini menjadi petanda kepada kita betapa Baginda SAW amat menyayangi umatnya dan mengharapkan semua umatnya akan masuk ke dalam Syurga Allah SWT kelak di Hari Akhirat. Sayugia kita memanjatkan kesyukuran kepada Allah SWT kerana telah mengurniakan kita penghormatan yang besar menjadi umat Nabi Muhammad SAW. Oleh sebab itu kita hendaklah membersihkan pemikiran kita sepertimana pemikiran sahih yang dianjurkan oleh Baginda SAW kepada para Sahabat kerana para Sahabat Nabi SAW itu sebenarnya adalah gambaran kepada umat Baginda SAW secara keseluruhannya. Apabila Nabi SAW bercakap kepada seorang Sahabat Baginda SAW, ianya adalah untuk petunjuk kepada sekalian umat.

Dalam satu riwayat yang menunjukkan Baginda SAW mendidik para Sahabat agar berfikiran betul, seorang Sahabat RA telah kehilangan seekor unta dan kelihatan wajah muka yang sedih dan sugul. Beliau mengadap Baginda SAW, lalu Baginda SAW bertanya beliau kenapa wajahnya sugul bersedih? Lalu Sahabat tersebut menjawab “aku kehilangan unta wahai Rasulullah SAW”. Lalu Baginda SAW menjawab mafhumnya: “aku ingat kamu terlepas Takbiratul Ihram tadi” Lalu Sahabat tersebut bertanya “adakah terlepas Takbiratul Ihram itu lebih besar kerugiannya daripada kehilangan unta, wahai Rasulullah?” Lalu Baginda SAW menjawab mafhumnya: “tertinggal Takbiratul Ihram kamu itu tidak boleh diganti dengan kehilangan segala unta di dunia ini”.  

Dalam satu riwayat yang lain pula, Baginda SAW bertemu dengan para peniaga dan bertanyakan siapakah orang yang dikira paling untung dalam perniagaan pada sesuatu hari? Salah seorang peniaga menjawab orang yang paling beruntung ialah apabila dia membuat keuntungan hingga mencecah 400 dirham atau 400 dinar pada hari tersebut. Lalu Baginda SAW menjawab mafhumnya: “aku tahu hari ini ada orang yang lebih untung daripada itu pada hari ini”. Lalu mereka semua terpegun dan tertanya-tanya siapakah lelaki itu, lalu mereka bertanya “siapakah dia wahai Rasulullah SAW”. Lalu Baginda SAW menjawab mafhumnya, dia ialah seorang lelaki yang berwuduk lalu mendirikan Solat dua rakaat.  Begitu juga pernah diriwayatkan bahawa pada suatu hari Sayyidatina Aisyah RA telah memasak kambing dan setelah dimasak maka Aisyah RA telah memberikan kepada Baginda SAW lalu Baginda SAW mensedekahkan kepada jiran-jiran, hingga akhirnya tinggal hanya sedikit berbaki, lalu Aisyah RA dengan kecewa berkata kepada Baginda SAW: “inilah saja yang tinggal wahai Rasulullah”. Lalu Baginda SAW menjawab mafhumnya, tidak begitu wahai Aisyah, bahkan yang di sisi Allah itulah baki untuk kita dan yang ini akan habis. Bahkan setiap sedekah akan kekal di sisi Allah SWT tidak habis dan akan dilipat gandakan lagi.

Rencana ini telah disiarkan dalam segmen Agama akhbar Berita Harian edisi 13 Januari 2017
\"2017-01-13\"
Scroll to Top