Airmata Al-Aqsa

BARANGSIAPA yang tidak mengambil berat urusan kaum Muslimin, maka dia bukan dari golongan mereka, HR At-Tabrani. Sekiranya Allah SWT bertanya kepada kita sedang kita dalam keadaan bersenang lenang, tidur yang lena, apakah tindakan kita untuk membebaskan Masjid Al-Aqsa daripada pertumpahan darah. Perkongsian mengenai tajuk “Airmata Al-Aqsa” dikongsi menerusi segmen Usrah Nurani melalui naqib, Ustaz Zulramli Mohamad Razali serta tetamu usrah, Ustaz Muhammad Abdullah Al-Amin dan Wan Roslili Abdul Majid, Felo Pusat Kajian SYARAK, IKIM. Ustaz Zulramli berkongsi bagaimana Allah SWT telah menyebut nama Al-Aqsa menerusi kitab Al-Quran yang mulia. Maka menjadi tanggungjawab kita juga untuk turut merasai setiap perkara yang berlaku di Al-Aqsa. Bukan sekadar mendengar dengan telinga dan melihat dengan mata, namun harus kita merasai dengan hati.

Ustaz Muhammad menyebut di dalam dunia ini terdapat beberapa tanah yang disebut di dalam ‘Al-Quran mahupun hadith Baginda SAW. Antaranya adalah Makkah yang disebut sebagai Negara yang Aman’. Selain itu, yang disebutkan di dalam hadith Nabi SAW ialah Iraq yang dipanggil ‘Negeri Fitnah’. Tedapat juga negeri yang disebut sebagai ‘Negeri Barakah’ iaitu Yaman dan Syam. Juga terdapat satu daerah yang disebut dengan ‘Darul Syuhada’ iaitu kawasan Baitul Maqdis kerana sejak dari zaman sebelum Baginda Nabi SAW telah berlaku peperangan kerana agama di Baitul Maqdis. Antaranya peperangan antara ‘Jalut dan Tholut’ serta Perang Syam’un Al-Ghazi, kisah Nebuchednizzar yang menghancurkan kota Jerusalem. Kemudian bagaimana kota Jerusalem dihancurkan oleh Titus, tentera Rom pada 70 Masihi. Baitul Maqdis pernah berada di bawah penguasaan tentera salib selama hampir 100 tahun. Sehingga kini berlaku peperangan-peperangan kecil semuanya kerana agama.  Juga di akhir zaman akan berlaku peperangan yang luar biasa hebatnya di antara orang-orang Islam yang dipimpin oleh Nabi Isa AS, Imam Mahdi yang menentang Dajjal. Pengakhiran perang itu juga berlaku di Baitul Maqdis.

Apabila berlakunya peperangan, maka akan ramailah yang tidak bersalah dan berdosa terbunuh. Sebagai contoh tentera salib ketika tiba di Baitul Maqdis, mereka menyembelih hampir seratus ribu orang. Apa peranan kita? Ustaz Muhammad berkongsi, bagi mereka yang terlibat dengan keadaan di Baitul Maqdis, kita doakan mereka supaya tabah, semoga Allah beri kekuatan dan kesabaran. Bagi kita yang di luar dan menyaksikan penderitaan mereka, doa adalah perkara yang boleh kita lakukan sekurang-kurangnya. Ada juga yang dapat membantu dengan wang ringgit melalui NGO yang pelbagai. Tedapat juga bantuan makanan dan perubatan yang dihantar. Apapun juga, semuanya terletak ditangan kita apa jua yang boleh kita laksanakan.

Bagi Wan Roslili Abdul Majid, beliau berkongsi sekalipun tidak pernah menjejakkan kaki ke bumi suci Al-Aqsa, namun yang menjadi penghubung adalah persaudaraan seagama dan seakidah dengan saudara-saudara di sana. Begitulah kita diingatkan oleh Baginda Nabi SAW apabila kita tidur dalam keadaan kekenyangan sedangkan jiran kita kelaparan, itupun satu bentuk keaiban buat kita serta tidak sempurna iman kita. Apatah lagi situasi yang melibatkan masjid dan tanah suci yang disebut di dalam Al-Quran ini, sekiranya kita tidak merasakan apa-apa, maka periksalah kembali tahap iman kita. Sekiranya kita mahukan pertolongan daripada Allah SWT, maka bantulah saudara-saudara kita. Dalam situasi ini, kita bukan sahaja membantu manusia-manusia tetapi juga membantu rumah Allah SWT, Masjid Al-Aqsa.

Ustaz Zulramli turut berkongsi saat berkunjung ke bumi Palestin, sapaan mesra saudara-saudara kita di sana “Selamat datang ke tanah kamu” dan saat kita keluar dari Bumi Palestin, mereka menyebut “Jumpa lagi di Al-Aqsa Al-Syarif”. Sekiranya Allah SWT memperjalankan Rasulullah SAW ke Masjid Al-Aqsa, pasti terdapat sesuatu di sana, yang istimewa. Kemudian Ustaz Muhammad dengan panjang menjelaskan mengenai Al-Aqsa. Ustaz menyebut, Baitul Maqdis merupakan sebuah negara, dari bahagian Selatan Gaza sehingga ke Utara Nazareth, dari bahagian Timur Jericho hingga ke bahagian Barat Tel Aviv. Baitul Maqdis yang menjadi rebutan sejak dahulu lagi merupakan sebuah kota tiga benua, menghubungkan benua Afrika, Asia dan Eropah. Salahuddin Al-Ayyubi menyebut “Sesiapa yang dapat menguasai Palestin, dia boleh menawan dunia”.

Ustaz Muhammad menambah, di Baitul Maqdis itu terdapat satu tempat yang sangat istimewa, Al-Aqsa. Al-Aqsa merupakan kiblat pertama umat Islam. Keluasan Masjid Al-Aqsa ialah 36 ekar dan terdapat lima buah masjid di dalamnya. Dua di atas tanah dan tiga lagi di bawah tanah. Dua yang di atas di tanah merupakan Masjid Utama atau Masjid Kibli dan Masjid Kubbatus Sakhra. Tiga di bawah tanah, pertamanya Masjid Marwani, Masjid Utama (bawah tanah) dan Masjid Buraq. Ustaz turut berkongsi, terdapat lebih seratus benda yang boleh dilihat di dalam Masjid Al-Aqsa. Sekiranya kita memasuki Masjid Utama, di sana terdapat Makam Arba’in, tempat 40 wali berkumpul. Manakala di Masjid Utama (bawah tanah) terdapat perpustakaan lama yang terdapat setengah juta manuskrip lama.

Ustaz Muhmmad berkongsi mengapa kita sebagai bangsa melayu di Malaysia begitu dekat dengan apa jua yang terjadi di Al-Aqsa juga di Palestin. Menurut sejarah di dalam kitab Tarsilah Melayu, bangsa melayu datang daripada keturunan Nabi Ibrahim AS. Disebabkan itu, kita benar-benar dekat dengan sejarah Al-Aqsa itu sendiri. Bukti kedua, ketika Salehuddin Al-Ayyubi dapat menawan kembali Al-Aqsa daripada tentera salib, beliau telah bernazar untuk mletakkan dua buah kimbar sekiranya berjaya menawan kembali Al-Aqsa. Satunya di Masjid Al-Aqsa dan satu lagi terletak di Masjid Ibrahimiyah di Hebron. Mimbar itu terdiri daripada 16 ribu kepingan kayu yang dipasak dan ditanggam. Teknologi kerja kayu adalah teknologi orang Nusantara. Sekiranya diamati, ia menggunakan teknik yang sama dengan pembinaan Istana Seri Menanti di Negeri Sembilan. Manakala, motif bunga-bungaan yang terdapat pada mimbar itu, adalah bunga-bunga dari Nusantara. Manakala sejak kurun ke-16 lagi, orang-orang Melayu Nusantara telah dibawa menziarahi Masjid Al-Aqsa melalui Sunan Quddus. Maka, tidak hairan mengapa kita begitu sensitif dan tersentuh sekiranya Al-Aqsa dan juga Palestin dipermainkan oleh agama lain.

Al-Aqsa bukan hanya untuk kita tatap dan kita dengar semata-mata, bahkan untuk kita ambil semangatnya demi mempertahankan maruah bumi suci kita daripada menjadi tawanan zionis. Apapun yang terjadi, semoga doa kita buat seluruh saudara kita di sana takkan pernah terhenti. Sematlah di dalam jiwa kita, nada-nada semangat agar kita menjadi yang pertama mempertahankannya.

Rencana ini telah disiarkan dalam segmen Agama akhbar Berita Harian edisi 8 Ogos 2017
\"\"
WhatsApp
Scroll to Top