Kuala Lumpur, 4 Julai (IKIM) – AirAsia Academy mengadakan majlis pelancaran penjenamaan semula AirAsia Academy kepada Outclass dengan dirasmikan oleh Menteri Digital Malaysia, YB Gobind Singh Deo di ibu negara,hari ini.
Penjenamaan ini adalah usahasama edtech digital Capital A dalam memperkenalkan platform Outclass memperkasakan individu untuk berkembang maju dalam bidang tenaga kerja melalui pendidikan yang diperibadikan dan membantu pengguna capai aspirasi kerjaya mereka.
Menurut YB Gobind Singh Deo, Menteri Digital Malaysia pelancaran Outclass pada hari ini adalah satu inisiatif untuk kemajuan dan peningkatan kemahiran digital di Malaysia.
“Inisiatif ini adalah satu bukti komitmen kami yang tidak berbelah bahagi untuk melengkapkan bakat negara dengan kecekapan digital untuk berkembang maju dalam landskap yang berkembang pesat”, katanya dalam Majlis Pelancaran Penjenamaan Semula AirAsia Academy kepada Outclass pada khamis.
Presiden (Pelaburan & Usahasama) Capital A dan Pengarah Eksekutif Outclass, Aireen Omar berkata perkenalan platform ini adalah bagi memanfaatkan teknologi AI dalam mengesyorkan laluan kerjaya terbaik berdasarkan personaliti, cita-cita dan kemahiran buat pengguna.
Sementara itu, Outclass menawarkan pelbagai kursus di luar subjek berkaitan teknologi, termasuk pengalaman pembelajaran diperibadikan yang disusun oleh para pakar industri dan penyumbang serta kandungan perpustakaan yang merangkumi pelbagai bidang seperti siri INSPIRE kisah kejayaan tokoh berpengaruh antaranya penyanyi nombor satu Malaysia, Dato’ Sri Siti Nurhaliza dan ramai lagi.