IKIM ANJUR PROGRAM GLOBAL MADANI FORUM 2024 BINCANG KEBANGKITAN TAMADUN ISLAM

Kuala Lumpur, 4 Julai (IKIM) – Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) dengan kerjasama Persatuan Pencerdasan Umat Malaysia (WADAH) akan menganjurkan program Forum Madani Global yang bertempat di Hotel Sunway Putra, Kuala Lumpur pada 10 hingga 11 Julai 2024.

Menurut Ketua Pengarah Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), Prof. Madya. Dato’ Dr. Mohamed Azam Mohamed Adil program ini diadakan bagi membahaskan strategi  ke arah kebangkitan ketamadunan Islam dalam tempoh seratus tahun ke hadapan serta usaha kearah pengantarabangsaan gagasan Malaysia Madani.

Program ini juga menjadi satu pengantara bagi pengumpulan ramai pembentang dari pelbagai sektor akademik dan kepakaran dalam bersama-sama membahaskan persoalan memangkinkan Kebangkitan Peradaban Islam

“Memangkin Kebangkitan Peradaban Islam adalah satu topik yang penting bagi mengangkat semula maruah orang Islam di seluruh dunia dengan melihat pelbagai sudut antaranya seperti pengajaran dari masa silam, agenda ketamadunan ASEAN, agenda kepimpinan ketemadunan masa depan dan strategi yang diperlukan untuk menjelma kebangkitan Tamadun” katanya pada sidang media program Forum Madani Global di ibu negara hari ini.

Majlis perasmian forum akan disempurnakan oleh Perdana Menteri Malaysia, YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim dan turut dihadiri oleh Presiden Kesatuan Ulama Sedunia, Sheikh Dr. Ali Muhyiddin Al-Qaradaghi pada hari kedua program, 11 Julai.

Seramai 1,000 peserta dari beberapa negara dianggarkan akan menyertai forum ini dan pendaftaran boleh dilakukan secara dalam talian melalui pautan yang dihebahkan di media sosial IKIM serta tiada bayaran dikenakan bagi sebarang penyertaan.

Orang ramai boleh mengikuti Program Forum Madani Global 2024 di media rasmi TV AlHijrah, IKIMfm dan TV IKIM.

Scroll to Top