KANGAR, 2 Mei — Qari dari Perak, Aiman Ridhwan Mohamad Ramlan dan qariah mewakili Terengganu, Wan Sofea Aini Wan Mohd Zahidi dinobatkan sebagai johan Tilawah Al-Quran Peringkat Kebangsaan 2025/1445H yang berlangsung di Dewan 2020, Kangar, Perlis malam ini.
Kemenangan itu melayakkan mereka masing-masing menerima hadiah wang tunai RM20,000, tambahan RM10,000 untuk menunaikan ibadah haji, berserta piala, cenderamata dan sijil penyertaan. Mereka turut menerima satu dinar emas daripada Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YAPEIM) Gold serta telefon pintar yang dikurniakan oleh Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail, dan Raja Perempuan Perlis, Tuanku Tengku Fauziah Almarhum Tengku Abdul Rashid, dengan kerjasama kerajaan negeri.

Dalam pada itu, negeri Kedah diumumkan sebagai juara keseluruhan pertandingan tahun ini.
Bagi kategori hafazan 30 juzuk berserta tafsir, Muhammad Adib Ahmad Rozaini dari Perak dan Putri Auni Khadijah Mohd Hanif dari Kelantan muncul johan bagi bahagian lelaki dan perempuan.
Sementara itu, Muhammad Imran Hussin dari Selangor menjuarai kategori hafazan 20 juzuk bagi peserta lelaki, manakala Siti Khadijah Anuar, juga dari Selangor, mengungguli kategori sama bagi peserta perempuan.

Kategori hafazan 10 juzuk berserta taranum pula menyaksikan Mohamad Khayruddin Zakwan Jaimis dari Sabah memenangi bahagian lelaki, sementara Shashahani Irdina Shamsul Rizal dari Selangor diumumkan sebagai johan bahagian perempuan.
Majlis penutup disempurnakan oleh Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail, disertai keberangkatan Raja Perempuan Perlis, Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda Perlis Tuanku Dr Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dato’ Setia Dr. Mohd Na’im Mokhtar dalam ucapannya berkata penganjuran ini bukan sekadar untuk memperdengarkan kemerduan bacaan al-Quran, tetapi lebih besar daripada itu, sebagai usaha menyuburkan budaya penghayatan dan tadabbur al-Quran dalam kalangan masyarakat.

“Tadabbur al-Quran menjadi jambatan antara bacaan dan penghayatan. Ia penting bagi menyuburkan keimanan, memperbetul amalan serta menjadikan wahyu sebagai pedoman dalam membuat keputusan kehidupan seharian,” jelas beliau.
Mohd Na’im turut merakamkan ucapan tahniah kepada semua peserta, memuji komitmen juri serta mengucapkan penghargaan kepada Menteri Besar Perlis, Yang Amat Berhormat Tuan Mohd Shukri bin Ramli, dan seluruh jentera Kerajaan Negeri atas kerjasama padu dalam menjayakan majlis berprestij ini.
Turut hadir Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Datuk Dr Sirajuddin Suhaimee yang turut mengumumkan para pemenang.guli bahagian perempuan.
Gambar : FB Dato’ Setia Dr. Na’im