KLANG, 16 Februari (IKIM) – Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) telah meletakkan agenda perpaduan sebagai salah satu keutamaan yang mahu digerakkan dengan bersungguh-sungguh.
Menterinya, Dato’ Setia Dr. Hj. Mohd Na’im Mokhtar berkata agensi-agensi di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) akan sentiasa bekerjasama dengan semua pihak untuk terus memperkukuh kesatuan dan keharmonian masyarakat demi kemakmuran negara.
“Program ini merupakan manifestasi kecaknaan agensi-agensi hal ehwal Islam di peringkat Persekutuan dan Negeri bersama-sama NGO untuk menterjemahkan agenda perpaduan dan keharmonian dalam masyarakat,” ujar beliau.

Beliau berkata demikian kepada lebih 800 orang yang hadir ke program Jalinan Muhibbah Madani sempena Tahun Baharu Cina 2025 di Dewan Persatuabn Hokkien Klang, di sini hari ini.
Tambah beliau, program-program seperti jalinan muhibbah madani, dialog harmoni, ziarah madani serta lain-lain program yang berorientasikan kemasyarakatan akan terus diperhebat bagi mendatangkan manfaat kepada negara.
Dalam pada itu, beliau berkata berpandukan Pelan Transformasi Al-Falah, agensi-agensi hal ehwal Islam telah merangka program-program seperti hari ini untuk membawa mesej Madani, Al-Falah dan Islam Mekar di Bumi Malaysia kepada masyarakat.
Beliau turut mengajak semua agar mengambil peranan dan tanggungjawab untuk terus memperkukuh perpaduan dan keharmonian berasaskan nilai hormat-menghormati serta saling bertoleransi.

Program ini merupakan kolaborasi Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) sebagai Agensi Penyelaras di peringkat Persekutuan bersama rakan-rakan strategik daripada Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM), Persatuan Cina Muslim Malaysia (MACMA) dannPertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM).
Program ini turut mendapat kerjasama daripada Hidayah Centre Foundation, Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Pusat Zakat Selangor, Yayasan Taqwa MAIWP, TV AlHijrah, Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), dan pihak MyFundAction.
Selain itu penerima manfaat yang hadir turut menerima sumbangan ‘Kotak Rezeki Umat’ MyFundAction.
Turut hadir dalam program ini Ketua Pengarah JAKIM, Datuk Dr. Sirajuddin Suhaimee; Yang Di-Pertua YADIM, Datuk Hasanuddin Mohd Yunus; Presiden MACMA, Prof. Datuk Dr. Taufiq Yap Yun Hin; dan Ketua Pengarah IKIM, Prof. Madya Dato’ Dr. Mohamed Azam Mohamed Adil.