AEON BANK PERKUKUH KERJASAMA DENGAN ZURICH MALAYSIA, TAWAR PERLINDUNGAN TAKAFUL DIGITAL SERENDAH RM5 SEBULAN

KUALA LUMPUR, 25 Nov (IKIM) – AEON Bank (M) Berhad, bank digital Islamik pertama di Malaysia, terus memperluas ekosistem perbankan digitalnya dengan mengintegrasikan perlindungan Takaful secara langsung ke dalam aplikasi mudah alih mereka. 

Usaha ini dimantapkan melalui kerjasama strategik bersama Zurich Takaful Malaysia Berhad (ZTMB) dan Zurich General Takaful Malaysia Berhad (ZGTMB), menawarkan produk Takaful mampu milik untuk rakyat Malaysia.

Ketua Pegawai Eksekutif AEON Bank, YM Raja Datin Paduka Teh Maimunah Raja Abdul Aziz, menegaskan bahawa pendigitalan mengubah cara pengguna mengurus kewangan dan melindungi keluarga mereka.

“Kerjasama dengan Zurich Takaful adalah komitmen kami untuk menyediakan perlindungan Takaful patuh Syariah pada caruman berpatutan yang diintegrasikan secara lancar dalam ekosistem digital. Pelanggan kini bukan hanya mengurus pembayaran dan belanjawan melalui aplikasi AEON Bank, malah boleh melindungi diri dan keluarga dengan hanya beberapa klik,” katanya pada acara ‘A New Era of Protection’ di sini hari ini. 

Kerjasama ini adalah kesinambungan kolaborasi tiga pihak yang dimeterai pada Mei 2024, dengan visi bersama untuk menyediakan perlindungan patuh Syariah yang mudah diakses, berpatutan dan relevan dengan gaya hidup digital masa kini.

Melalui inisiatif terbaharu ini, dua produk utama kini ditawarkan secara eksklusif melalui aplikasi AEON Bank mulai 29 Oktober 2025, Personal Accident Takaful, caruman serendah RM5 sebulan, menawarkan perlindungan akibat kemalangan dengan pilihan jumlah perlindungan RM50,000 atau RM80,000; dan Term Takaful, caruman serendah RM18 sebulan, menyediakan perlindungan menyeluruh merangkumi kematian dan hilang upaya kekal menyeluruh akibat semua sebab, serta manfaat tambahan seperti elaun hospital dan perbelanjaan pengebumian.

Kedua-dua pelan ini terbuka kepada rakyat Malaysia berumur 18 hingga 59 tahun dan boleh diakses 24/7 melalui telefon pintar.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Zurich Malaysia, Junior Cho, berkata kerjasama ini memberi nilai tambah kepada pengguna melalui inovasi dan kepakaran global Zurich.

“Dengan lebih 150 tahun pengalaman, Zurich komited menyediakan perlindungan inklusif yang mudah disertai, senang difahami dan relevan dengan gaya hidup masa kini. Inisiatif ini meneruskan usaha kami memperluaskan penyelesaian mikro-Takaful untuk keperluan individu dan keluarga di seluruh negara,” ujarnya.

Pengguna hanya perlu mengikuti lima langkah ringkas untuk mengaktifkan perlindungan Takaful melalui aplikasi AEON Bank, bermula dari memuat turun aplikasi, memilih pelan, membuat pengesahan, sehinggalah melihat sijil Takaful dalam aplikasi.

Pendekatan ini menghapuskan halangan tradisional seperti keperluan pertemuan fizikal atau proses pendaftaran panjang, sekali gus menjadikannya lebih mudah, cepat dan mesra pengguna.

AEON Bank dan Zurich Malaysia komited untuk terus membangunkan lebih banyak produk mikro-Takaful yang bersifat inklusif bagi memenuhi keperluan pengguna dalam era digital yang serba pantas.

WhatsApp
Scroll to Top