SIFAT cinta dan sayang kepada Rasulullah SAW adalah tuntutan bagi seluruh umat Islam kerana mencintai Nabi Muhammad SAW adalah jalan menuju cinta Allah taala. Justeru, Baginda sendiri mengajarkan tiga perkara penting bagi umat Islam agar menanam rasa cinta kepada baginda menerusi hadis yang bermaksud “ Ajarlah oleh kamu akan anak-anakmu iaitu cinta kepada NabiNya, cinta kepada ahli keluarga dan cinta kepada al-Quran dengan cara membacanya” Dengan cara ini akan dapat meraih mahabbah Allah taala dan seterusnya mendapat keredaanNya di dunia dan akhirat.
Menerusi rancangan Islam itu Indah yang bersiaran di radio IKIMfm pada hari Rabu jam 10 pagi, Al-Fadhil Ustaz Firdaus Subhi berkata, dalam al-Quran menerusi surah Ali Imran ayat 31, Allah SWT berfirman yang bermaksud “katakanlah: Jika memang kamu cinta kepada Allah, maka turutkanlah aku, nescaya cinta pula Allah kepada kamu dan akan diampuniNya dosa-dosa kamu. Dan Allah adalah Maha Pengampun lagi Penyayang.”
Jalan mencintai Allah SWT adalah dengan cara mengikuti Sunnah Rasulullah SAW. Kerana menuruti tatacara yang dibawa oleh baginda Nabi Muhammad SAW merupakan kecintaan Allah taala. Ini kerana Rasulullah dikuniakan bagi menjadi asbab kepada manusia untuk memperolehi hidayah dari Allah SWT.
Oleh itu, setiap mukmin perlu ketahui akan adab-adab yang sewajarnya terhadap Nabi Rasulullah kerana ia adalah sebab untuk mendapat rahmat dan kasih sayang Allah taala. Sesungguhnya dalam beradab dengan baginda SAW, menerusi dalil-dalil yang dikemukakan bahawa Rasulullah SAW mendengar dan menyahut setiap seruan selawat kepadanya, hatta dinukilkan pada setiap hari Jumaat, malaikat berjalan serata dunia membawa salam dan selawat umatnya kepada baginda. Bererti, setiap kali mendengar kalimah “Sallallahu ‘alaihi wasallam” “Sallallahu ‘ala Muhammad (Allah berselawat ke atas Muhammad)” wajar bagi seseorang mukmin untuk menyebut “Sallallahu ‘alaihi wasallam”.
Allah SWT berfirman dalam surah al-Ahzab ayat 56 yang bermaksud, “Sesungguhnya Allah dan para malaikatNya berselawat ke atas Nabi. Wahai orang-orang yang beriman, berselawatlah kamu ke atas Nabi dan ucapkanlah salam kepadanya.” Bahkan orang mukmin yang tidak menjawab selawat atau berselawat kepada baginda Rasulullah adalah orang yang bakhil, manakala orang yang bakhil adalah orang yang tidak mendapat kasih sayang Allah taala.
Di antara adab lain yang perlu dilakukan oleh seseorang mukmin yang paling utama adalah menyakini apa yang dibawa oleh baginda Rasulullah iaitu keyakinan terhadap agama Islam yang diajar oleh baginda. Justeru, setiap umat Islam wajib memperkuatkan akidah dan iktikad iaitu keyakinan terhadap Allah taala. Kefahaman yang kuat dan jitu terhadap Allah taala akan dapat menepis segala sifat syirik atau perkara-perkara yang boleh membatalkan akidah seseorang mukmin. Ini kerana penyelewengan akidah berlaku bukan hanya dengan mensyirikkan Allah SWT tetapi dengan cara mencaci baginda Rasulullah SAW juga boleh mengundang syirik yang membawa seseorang mukmin menghuni neraka jahanam.
Adab lain adalah menuruti perintah yang dibawa oleh baginda tanpa apa-apa alasan. Hadis Rasulullah SAW bermaksud “ Tidak sempurna iman seseorang kamu sehinggalah aku dicintai berbanding dengan apapun di dunia ini”. Selain itu, ada perkara-perkara yang diharamkan oleh baginda Rasulullah juga perlu dihindarkan oleh umat manusia kerana dengan cara inilah akan mendekatkan seseorang mukmin dengan adab-adab dengan baginda.
Tujuan Allah menurunkan sama ada larangan atau suruhan ini adalah bertujuan untuk menjaga kemaslahatan dan memelihara kebaikan ummah. Barangkali ianya dilihat agak sulit tapi di sudut yang lain larangan-larangan tertentu bagi tujuan pendidikan dan pengajaran untuk kebaikan mukmin itu sendiri. Sesungguhnya apa yang diajar oleh ajaran agama Islam adalah untuk memberi kebaikan dan panduan bagi mukmin untuk mendapat kerahmatan dariNya dan di hujungnya hidup ini seseorang mukmin itu akhirnya dapat meraih syurga Allah taala.
Akhirnya, dengan cara beradab dengan Nabi Muhammad SAW akan meletakkan mukmin itu pada suatu akhlak yang mulia dan terpuji. Usahakanlah diri melaksanakan segala perintah yang diajar oleh baginda dan jauhkanlah diri dari segala perbuatan yang dilarang oleh baginda. Sesungguhnya pada diri baginda ada suri tauladan yang perlu dituruti dan bagi umat yang taat akan perintah Allah dan Rasul laksanakanlah segala perintah dan suruhanNya moga-moga ini akan menjadi asbab untuk memperoleh rahmat dan kasih sayang Allah SWT.
Rencana ini telah disiarkan dalam segmen Agama akhbar Berita Harian edisi 23 Januari 2018