Adab bertamu di Hari Raya

FALSAFAH sambutan perayaan dalam agama Islam sangat menarik. Islam menetapkan hari raya dua kali dalam setahun iaitu Aidilfitri dan Aidiladha. Kedua-dua mempunyai kaitan dengan syariat Islam. “Rasulullah SAW datang ke Madinah, sedang penduduknya sibuk bergembira selama dua hari.

Maka baginda bertanya: Hari apakah yang dua hari ini? Mereka menjawab: “Kami biasa bergembira selama dua hari pada zaman jahiliah. Kemudian Rasulullah bersabda : Sesungguhnya Allah SWT menggantikannya dengan hari yang lebih baik daripada dua hari itu bagi kamu iaitu Aidilfitri dan Aidiladha,”  (Riwayat Abu Daud dan al-Nasai)

Hari Raya Aidilfitri adalah hari umat Islam menyambut kemenangan iatu bukan sahaja berjaya mengawal nafsu makan dan minum selama sebulan pada siang hari sepanjang bulan Ramadan, tetapi juga kemenangan kerana seseorang yang telah mengerjakan puasa tersebut dengan sendirinya dapat menghalang diri daripada melakukan apa jua perkara yang dilarang.

Pada siri perbincangan yang lalu dalam rancangan Pesona D’ Zahra di radio IKIMfm bersiaran di IKIMfm hari Isnin jam 10.15 pagi, Ustaz Muhammad Abdullah Al-Amin memberi panduan kepada umat islam tentang adab-adab tertentu yang perlu dijaga ketika menziarahi rumah orang lain bukan sahaja pada Hari Raya sahaja malah pada bila-bila masa juga. Perkara tersebut jelas terkandung dalam Al-Quran sepertimana  difirmankan oleh Allah SWT yang bermaksud Wahai orang-orang beriman, janganlah kamu masuk ke rumah Nabi (menunggu makanan masak kerana hendak makan bersama), kecuali kamu dijemput untuk menghadiri jamuan, bukan dengan menunggu-nunggu masa sajiannya; tetapi apabila kamu dijemput, maka masuklah (pada waktu ditetapkan); kemudian setelah kamu makan, maka hendaklah masing-masing bersurai dan janganlah duduk bersenang-senang dengan berbual-bual. Sesungguhnya yang demikian itu menyakiti dan menyusahkan Nabi sehingga baginda merasa malu (hendak menyatakan hal itu) kepada kamu, sedang ALLAH tidak malu dari menyatakan kebenaran… ( Surah al-Ahzab, ayat 53).

Agama Islam sangat menggalakkan umatnya agar senantiasa berusaha untuk memperbaiki dan mempertingkatkan tautan silaturrahim dan ukhuwwah. Menurut Ustaz Muhammad, amalan ziarah adalah sunat dan ia dianjurkan oleh Nabi Muhammad SAW. Malahan mereka yang mengamalkannya mampu dipanjangkan umur dan dimurahkan rezeki oleh Allah SWT.  Seterusnya, menghadiri jemputan dan undangan sebagai tetamu adalah fardhu ain atau wajib selagi individu yang dijemput tidak berkeuzuran yang tidak menghalangnya daripada menghadiri jemputan tersebut. Memandangkan tuan rumah yang telah menjemput telah melakukan persediaan yang rapi, maka  dalam hal ini sewajarnya individu yang diundang perlulah memiliki sifat bertimbang rasa dengan memenuhi undangan tersebut. Di samping itu, ayat tersebut memberikan isyarat kepada orang-orang beriman, bahawa perbuatan para tetamu akan menjadi haram sekiranya ia memudaratkan diri dan juga orang lain. Umpamanya, semasa berkunjung orang yang sakit, hendaklah memilih waktu yang sesuai serta memiliki kematangan dalam berziarah. Sekiranya didapati orang yang uzur itu perlu berehat, maka cukuplah  sekadar   berjumpa dan  berbual dengan ahli keluarga terdekatnya sahaja.

Sebagai tetamu juga, tidak sepatutnya bebas melakukan apa saja di rumah orang lain kerana perbuatan itu dianggap sebagai makruh,  akan mengganggu dan tidak disenangi tuan rumah.  Hal ini ini disebutkan oleh Rasulullah s.a.w. melalui hadisnya yang bermaksud Sesiapa yang memasuki majlis sesuatu kaum,hendaklah dia duduk di tempat yang telah disediakan kerana kaum itu (tuan rumah) lebih mengetahui aib rumah mereka”.  Sebagai tetamu, elakkanlah sengaja menunggu sambil duduk-duduk asyik berbual dalam jangka masa yang lama. Selain itu, hormatilah tuan rumah dengan orang di sekeliling dengan memakai pakaian yang bersesuaian. Apa yang penting ialah Hari Raya  mestilah disambut dalam kerangka syariat Islam supaya nilai ketakwaan kita tidak tercemar dengan amalan-amalan yang menyalahi syariat. Sebagai umat Islam,  perlulah  sentiasa meletakkan batasan agar hubungan tidak jauh daripada Allah SWT. Sebaik-baiknya gembira yang kita ingin kecapi daripada hari kemenangan tersebut mendatangkan bahagia di atas keimanan, mendatangkan ukhuwah, serta mampu menjalinkan silaturrahim. Mudah-mudahan kegembiraan tersebut kelak akan menjadi pahala  dan bukan mendatangkan kemurkaan daripada Allah SWT.

Rencana ini telah disiarkan dalam segmen Agama akhbar Berita Harian edisi 3 Julai 2017
\"\"
WhatsApp
Scroll to Top