ACI’25 ANGKAT NASYID SEBAGAI WADAH DAKWAH, PLATFORM HARGAI KARYA BERIMPAK

SHAH ALAM, 4 Jan (IKIM) –  Anugerah Carta IKIMfm 2025 (ACI’25) terus mengukuhkan peranannya sebagai platform penting dalam mengangkat seni muzik nasyid berteraskan mesej dakwah, kemanusiaan dan ketuhanan, selain menghargai kreativiti penggiat seni tanah air.

Berlangsung penuh prestij di Dewan Agung Tuanku Canselor (DATC), Universiti Teknologi Mara (UiTM) malam tadi, acara kemuncak bagi rancangan Carta IKIMfm itu mengiktiraf karya nasyid terbaik berdasarkan gabungan undian pendengar dan penilaian juri profesional, sekali gus mencerminkan penerimaan masyarakat terhadap karya berunsur nilai dan kerohanian.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dr Zulkifli Hasan berkata penganjuran ACI’25 berjaya merancakkan ekosistem seni muzik nasyid serta memperlihatkan penglibatan penggiat seni daripada pelbagai lapisan, termasuk golongan muda.

Beliau berkata perkembangan itu memberi harapan baharu kepada kebangkitan semula nasyid sebagai medium seni yang membina jiwa, memperkukuh perpaduan dan menyemai nilai kedamaian dalam masyarakat.

“Alhamdulillah dari segi penggiat nasyid, kita dapat melihat kewujudan generasi pelapis dengan adanya munsyid muda serta bimbingan daripada tokoh senior yang telah lama berada dalam industri ini.

“Namun yang paling penting adalah kualiti serta kandungan mesej yang disampaikan, sama ada berkaitan alam sekitar, kerohanian, perpaduan dan kedamaian inilah bentuk seni yang kita mahukan, seni yang membina dan bukan meruntuhkan,” katanya ketika ditemui pemberita.

Sementara itu, lagu Putusnya Butir Tasbihku dendangan Ustaz 3 Beradik feat. Fadzil Far East dinobatkan sebagai juara ACI’25, selain turut meraih anugerah Persembahan Terbaik. Mereka membawa pulang wang tunai RM10,000 termasuk trofi dan sijil penghargaan selaku juara. 

Naib juara pula dimenangi kumpulan Simfoni feat. Ezad Lazim menerusi lagu Terus, manakala kumpulan Rabbani menduduki tempat ketiga dengan lagu Husnul Khatimah.

Selain itu, penulis lirik terkenal ITO LARA atau nama sebenarnya Mohd Radzi Sulaiman, membawa pulang trofi Anugerah Lirik Terbaik menerusi lagu Terus dendangan Simfoni feat Ezad Lazim, manakala Kumpulan Fetya yang pertama kali bertanding dalam ACI’25 merangkul Anugerah Vokal Terbaik. 

Majlis penyampaian hadiah disempurnakan oleh Dr Zulkifli dan disertai Ketua Pengarah Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), Prof Madya Datuk Dr Mohamed Azam Mohamed Adil dan Naib Canselor UiTM, Prof Datuk Dr Shahrin Sahib @ Sahibuddin.

Majlis turut dimeriahkan dengan kehadiran Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Marhamah Rosli dan Timbalan Pengerusi IKIM, Prof. Emeritus Dato’ Dr. Mohd Yusof Othman. 

ACI’25 dianjurkan oleh IKIM dengan sokongan penaja utama Komuniti Dakwah tarbiah (KDT), Insaf Insani, Mardhiyyah Hotel & Suites dan UiTM, sekali gus membuktikan komitmen berterusan institusi itu dalam memartabatkan seni nasyid sebagai medium dakwah yang relevan, segar dan berimpak positif kepada masyarakat.

Foto: Ahmad Faizuddin Mohd Shukri

WhatsApp
Scroll to Top