ABIM KECAM TINDAKAN SIAR JALUR GEMILANG TANPA BULAN SABIT, TUNTUT TINDAKAN TEGAS

KUALA LUMPUR, 17 April (IKIM) — Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) mengecam keras tindakan dua akhbar berbahasa Cina yang menyiarkan ilustrasi Jalur Gemilang tanpa bulan sabit yang tidak lengkap, yang disifatkan sebagai satu penghinaan terhadap negara dan rakyat Malaysia.

Presidennya, Ahmad Fahmi Mohd Samsudin berkata, kesilapan tersebut tidak sepatutnya berlaku dalam kalangan organisasi media yang seharusnya lebih peka terhadap simbol-simbol kenegaraan.

“Kecuaian kritikal ini tidak wajar berlaku dalam kalangan organisasi media kerana ia dianggap sebagai penghinaan terhadap negara dan rakyat Malaysia keseluruhannya.” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

ABIM turut menyambut baik ketegasan titah Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim, berhubung insiden tersebut serta tindakan segera oleh Menteri Dalam Negeri berpandukan Akta Lambang dan Nama (Mencegah Penggunaan Tidak Wajar) 1963 [Akta 414] dan Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 [Akta 301].

Dalam pada itu, ABIM menggesa agar lesen penerbitan kedua-dua akhbar terbabit digantung, manakala individu-individu yang terlibat termasuk pemilik syarikat penerbitan diharamkan daripada terlibat dalam sebarang bentuk penerbitan media pada masa akan datang.

“Dalam era digital, kesilapan seperti ini akan kekal tular dan terus menjadi paparan dalam media sosial. Justeru, semua pengamal media perlu lebih bertanggungjawab dan sensitif terhadap perkara yang melibatkan simbol kenegaraan,” tegas Ahmad Fahmi.

WhatsApp
Scroll to Top