Hari-hari Pengusiran

PARA ulama membahagikan hari yang dinamakan hari pengusiran ini kepada empat bahagian. Firman Allah di dalam Surah Al-Hashr, ayat 2: “Dialah yang mengeluarkan orang-orang kafir di antara ahli kitab – dari kampung halaman mereka pada julung-julung kali mereka berhimpun hendak memerangi Rasulullah. Kamu (wahai umat Islam) tidak menyangka bahawa mereka akan keluar (disebabkan bilangannya yang ramai dan pertahanannya yang kuat), dan mereka pula menyangka bahawa benteng-benteng mereka akan dapat menahan serta memberi pelindungan kepada mereka (dari azab) Allah. Maka Allah akan menimpakan (azab-Nya) kepada mereka dari arah yang tidak terlintas daripada fikiran mereka, serta dilemparkan-Nya perasaan cemas takut ke dalam hati mereka, (lalu) mereka membinasakan rumah-rumah mereka dengan tangan mereka sendiri (dari dalam) sambil tangan orang-orang yang beriman (yang mengepung mereka berbuat demikian dari luar). Maka insaflah dan ambillah pengajaran (dari peristiwa itu) wahai orang-orang yang berakal fikiran serta celik mata hatinya.”

Allah SWT mengusir orang-orang kafir pada saat pengusiran pertama. Mengikut al-Zuhri yang menyebut bahawa mereka adalah kaum Yahudi yang dibiarkan dan belum pernah diusir, tetapi kerana Allah menetapkan bahawa mereka akan diusir, maka azab mereka di dunia ini ditangguhkan. Pengusiran pertama yang mereka rasakan di dunia ini ialah ketika mereka diusir ke negeri Sham. Pengusiran oleh Allah SWT ini adalah supaya manusia belajar bahawa bukan sekadar di akhirat sahaja tetapi ketika di dunia pun Allah sudah mula melakukan pengusiran.

Menurut Ustaz Ahmad Dusuki Abdul Rani di dalam slot Mau’izati di IKIMfm pada setiap Khamis, jam 5.15 petang, di dalam hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah, daripada Rasulullah SAW: “Manusia ini akan dikumpulkan di dalam tiga kelompok. Dalam keadaan satu kumpulan adalah mereka yang rindu kepada Allah SWT dan sentiasa takut kepada-Nya. Dan satu kumpulan lagi adalah kumpulan yang berangkat dengan menunggang satu unta berdua, satu unta untuk bertiga, satu unta untuk berempat dan satu untuk sepuluh orang sedangkan bakinya dihimpun oleh api. Di mana api-api itu akan sentiasa bersama dengan mereka baik pada waktu siang mahupun malam, waktu pagi mahu pun petang. Kebangkitan yang kedua ini berlaku ketika di dunia lagi.

Sebagaimana hadis riwayat Muslim, dinyatakan tanda berlakunya hari kiamat adalah keluarnya api dari dalam batu besar dan semua manusia lari untuk mengelakkan diri daripadanya. Sewaktu hampir berlakunya hari kiamat, Allah akan mula mengumpulkan manusia dan bergerak di dalam tiga kumpulan iaitu di kalangan orang-orang yang salih, kumpulan manusia yang bercampur di antara amalan baik dan buruknya, serta kumpulan yang terdiri daripada orang-orang kafir. Orang yang salih sentiasa merindui untuk bertemu dengan Allah kerana akan memperolehi apa yang dijanjikan oleh Allah berdasar amalan salih yang telah mereka lakukan.

Di dalam hadis yang menyebut orang yang akan menunggang unta adalah orang diampuni dosanya oleh Allah SWT dan tidak diazab sama sekali, walaupun tahap syurga berbeza-beza sama ada di tahap paling tinggi atau paling bawah di kalangan ahli syurga. Kumpulan kedua adalah golongan yang akan diazab Allah di atas dosa-dosa mereka tetapi kemudiannya akan dikeluarkan daripada neraka lalu dimasukkan ke dalam syurga. Mereka ini pada suatu ketika akan berjalan kaki dan ada ketikanya menunggang unta. Setelah dekat dengan Padang Mahsyar mereka turun daripada kenderaan ini dan berjalan kaki.

Kumpulan ketiga ialah golongan yang berjalan dengan muka mereka iaitu di kalangan orang-orang kafir. Al-Tarmizi meriwayatkan daripada Abu Hurairah RA bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Manusia akan dikumpulkan pada tiga kumpulan iaitu kumpulan pejalan kaki, kedua ialah kumpulan yang berkenderaan dan ketiga ialah manusia yang diusir yang berjalan dengan muka-muka mereka.” Apabila sahabat bertanya kepada Baginda tentang golongan yang berjalan dengan muka-muka mereka, Rasulullah SAW menjawab: “Yang berkuasa menjadikan mereka berjalan dengan kedua kakinya, berkuasa pula menjadikan mereka berjalan dengan muka-mukanya. Sedangkan orang yang bertaqwa, pada wajah mereka kelihatan berada pada kedudukan yang tinggi dan mulia di sisi Allah SWT.

Di dalam hadis yang diriwayatkan oleh Ibnu Abbas RA, menyebut: “Pernah suatu ketika Rasulullah SAW berdiri di kalangan kami, Baginda memberi satu peringatan yang kuat dengan berkata, “Kamu semua ini akan dikumpulkan di Padang Mahsyar Allah dalam keadaan kamu ini tidak beralas kaki, telanjang dan tidak dikhatankan, sebagaimana kami telah awalkan, kami telah memulai penciptaan kamu dan telah kami janjikan kepada kamu dengan janji yang pasti kami tepati di mana kami akan lakukan apa yang telah kami janjikan kepada kamu itu. Orang yang pertama yang akan dipakaikan pakaian pada hari kiamat nanti ialah Nabi Ibrahim AS.”

Pengusiran yang terakhir adalah ketika manusia dimasukkan ke dalam syurga atau dihumban ke dalam api neraka. Pada waktu ini amal salih akan berubah menjadi kenderaan agar memudahkan kita melintasi titian sirat dan menuju ke dalam syurga, manakala orang yang derhaka kepada Allah akan di usir ke neraka jahanam di dalam keadaan mereka merasa amat dahaga.

Rencana ini telah disiarkan dalam segmen Agama akhbar Berita Harian edisi 16 Jun 2016
\"2016-06-16\"
WhatsApp
Scroll to Top