Mengejar Fatamorgana

“Deras arus dunia menghanyutkan yang terleka

Indah fatamorgana melalaikan menipu daya

Dikejar dicintai bak bayangan tak bertepi

Tiada sudahnya dunia yang di cari”

Rangkap nasyid daripada Kumpulan Hijjaz ini memberi gambaran ringkas topik bincang Usrah Nurani yang bersiaran pada pukul 5.15 petang Jumaat lalu membicarakan tentang kecintaan pada dunia yang sementara sepertimana firman Allah SWT : “Ketahuilah bahawa kehidupan dunia itu tidak lain hanyalah permainan dan hiburan (yang melalaikan) serta perhiasan, juga bermegah-megah di antara kamu (dengan kelebihan, kekuatan, dan bangsa keturunan) serta berlumba-lumba membanyakkan harta benda dan anak pinak; samalah seperti hujan yang menjadikan penanamnya suka dan tertarik hati kepada kesuburannya, kemudian tanaman itu bergerak segar, selepas itu engkau melihatnya berupa kuning; akhirnya ia menjadi hancur bersepai; dan di akhirat ada azab yang berat dan keampunan besar serta keredaan dari Allah (disediakan bagi orang-orang yang mengutamakan akhirat). Dan (ingatlah, bahawa) kehidupan dunia ini tidak lain hanyalah kesenangan bagi orang-orang yang terpedaya.” (Surah Al-Hadiid, ayat 20).

Sedia maklum bahawa fatamorgana adalah sesuatu yang tidak pernah wujud. Ada pada pandangan tetapi tiada pada hakikat. Ia adalah pembiasan cahaya melalui kepadatan yang berbeza, sehingga mampu membuat sesuatu yang tidak ada menjadi seolah ada. Begitu tamsilan kehidupan manusia, bermati-matian mendapatkan sesuatu yang tidak akan mungkin dimiliki secara hakiki. Naqib usrah; Ustaz Zul Ramli M.Razali bersama rakan usrah di konti; Dr Nik Roskiman Abdul Samad serta PU Amin berkongsi tentang ironinya kehidupan manusia yang taksub mengejar sesuatu yang bakal di tinggalkan selamanya termasuklah harta, pangkat, jawatan, pasangan hidup, anak dan sebagainya.

Stephen R Covey menyatakan bahawa “Apabila berlaku sesuatu di sekitar anda (kematian atau kesakitan) itu tidak lebih seperti bunyi jam penggera yang sedang bordering untuk membangun dan membangkitkan anda”. Saban hari, menerusi bermacam saluran dan aplikasi menunjukkan betapa sebuah kematian ataupun kemalangan yang pastinya menjentik rasa insaf umpama baru dikejutkan dari tidur. Tatkala hanya melihat perkara tersebut berlaku pada seseorang, tidak mustahil ia mungkin akan berlaku juga pada diri. Justeru, dunia yang dipolon bermati-matian sehingga terkadang sanggup menggadai segala-galanya hatta agama, diri sendiri dan yang tersayang hanya menatijahkan kepenatan yang tiada kesudahan. Di dunia kehilangan dan kosong dan lebih membimbangkan akhiratnya pula kering kontang tiada apa yang tersisa. Bak kata pepatah; yang di kejar tak dapat, yang di kendong berciciran.

Segala yang dimiliki walaupun tidak melebihi keperluan, namun sudah mencukupi. Jika dibandingkan dengan kehidupan para sahabat, kehidupan umat hari ini jauh lebih mewah dari mereka, sedangkan dari sudut ibadat sangat jauh ketinggalan. Kekayaan dan kemewahan yang ada, sering kali menyibukkan dan menghalang daripada berbuat ibadah. Kesibukkan mengumpulkan kehendak tidak pernah memuaskan seperti meneguk air laut yang semakin di minum semakin menghauskan. Tidak ubahnya seperti sabda Rasulullah SAW: “Seandainya seorang anak Adam itu telah mempunyai satu lembah emas, dia berhasrat atau bercita-cita untuk mencari lembah yang kedua, sehingga ia dimasukkan ke dalam tanah (menemui kematian).” (HR Bukhari).

Sesungguhnya rongga anak adam itu tidak pernah puas untuk di penuhkan dan rongga itu hanya akan penuh dengan tanah menerusi sebuah kematian. Begitulah gambaran kerakusan manusia dalam mengumpulkan harta kekayaan. Ia sentiasa mencari dan menambah sehingga dipertemukan dengan penghujung nyawanya. Pada detik itu, baru timbul penyesalan yang pastinya tidak dapat merubah keadaan.

Sesungguhnya, manusia telah berjanji sedari alam roh sebelum di lahirkan ke atas muka bumi sepertimana firman Allah SWT mafhumnya : “Dan (ingatlah wahai Muhammad) ketika tuhanmu mengeluarkan zuriat anak-anak Adam (turun-temurun) dari (tulang) belakang mereka dan Dia jadikan mereka saksi terhadap diri mereka sendiri, (sambil Dia bertanya dengan firmanNya): bukankah Aku tuhanmu ? Mereka semua menjawab: Benar (Engkaulah Tuhan kami), kami mejadi saksi. Yang demikian supaya kamu tidak berkata pada hari kiamat kelak: Sesungguhnya kami adalah lalai (tidak diberi peringatan) tentang (hakikat tauhid ini) ini”. (Surah al – A\’raf, ayat 172).

Justeru, Allah yang Maha Pengasih mengutuskan para nabi dan rasul untuk sentiasa memberi ingat kepada umat manusia tentang perjanjian mereka dan sentiasa berpegang kepada matlamat asal kejadian iaitu untuk beribadah kepadaNya. Allah memerintahkan kepada manusia untuk mengejar dan mencari daripada setiap anugerahnya untuk akhirat tanpa melupakan dunia. Malangnya perkara sebaliknya telah berlaku iaitu sibuk mengejar kenikmatan dunia dengan anugerah kurnianNya dan hanya menyelitkan sedikit ingatan kepada akhirat.

Tetapi waktu itu penyesalan sudah tidak berguna lagi pada waktu tersebut, janganlah kita lupa daratan dalam mencari harta kekayaan. Tidak peduli halal atau haram, yang penting harta dapat dikumpulkan. Tidak peduli waktu solat, bahkan semua waktu digunakan untuk mengumpulkan kekayaan. Biarlah kita mencari harta benda dunia sekadar keperluan sahaja. Kalau berlebihan boleh digunakan untuk menolong orang lain yang kurang berkemampuan dan selalulah bersedekah, sebagai simpanan untuk hari akhirat. Orang yang bijaksana adalah orang yang mempunyai perhitungan untuk waktu akhiratnya dan ia menjadikan dunia ini tempat bertanam dan akhirat tempat memetik buahnya.

Rencana ini telah disiarkan dalam segmen Agama akhbar Berita Harian edisi 6 Mei 2016
\"2016-05-06\"
WhatsApp
Scroll to Top