Bersiaplah, Saat Kita Semakin Hampir

SESEKALI kita terusik dengan pernyataan daripada kalangan anak-anak muda, kata mereka, muda hanya sekali. Tetapi pernahkah kita juga menyedari bahawa peluang untuk hidup di dunia ini juga hanya datang sekali. Oleh itu janganlah kita menjalani kehidupan ini di dalam keadaan hanyut dan leka, kerana dibimbangi kita tidak bersedia serta tidak membawa apa-apa bekalan apabila tiba masanya dijemput kembali menghadap Allah SWT. Selain itu, berdoalah: “Ya Allah, tolong matikan kami ini di dalam keadaan husnul khatimah. Jangan Kamu matikan kami di dalam suul khatimah.”

Di antara perkara yang perlu dijaga agar kehidupan kita ini berakhir dengan kesudahan husnul khatimah, yang pertama ialah peliharalah diri agar memiliki aqidah yang jelas. Pastikan aqidah kita tidak bercampur dengan fahaman atau i’ktikad yang memesongkan. Kedua, pastikan diri mengamalkan ibadah yang sempurna, termasuklah menjaga solat yang merupakan tiang agama, mengutamakan solat melebihi kepentingan diri sendiri kerana ia merupakan ibadah yang menghubungkan kita dengan Allah SWT. Menjaga aurat juga merupakan salah satu tuntutan ibadah yang perlu disempurnakan sebaiknya kerana dibimbangi sekiranya kita mengabaikan perintah Allah ini, ia juga berupaya mendedahkan diri kepada perlakuan lain yang melanggar syariat agama. Ibadah lain yang perlu dijaga ialah membaca al-Quran, berusaha untuk menghafaz dan perbanyakkan amalan bertadabbur dengannya yang dilakukan secara berterusan serta berusaha mencari guru-guru agar kita lebih memahami al-Quran.

Menerusi perkongsian oleh Ustaz Ahmad Dusuki Abdul Rani melalui slot Mau’izati di IKIMfm pada setiap Khamis, jam 5.15 petang, menjaga Sunnah Rasulullah SAW adalah antara perkara yang dituntut untuk mengukuhkan ibadah. Baginda bersabda: “Aku tinggalkan kepadamu dua perkara. Selama mana kamu berpegang kepada dua perkara ini, kamu tidak akan sesat selama-lamanya di dalam hidupmu. Yang pertama ialah al-Quran dan kedua ialah sunnah Rasulullah SAW.” Hidupkan semula amalan sunnah Rasulullah di dalam setiap urusan kehidupan kita, sama ada di dalam hal-hal berkaitan diri, keluarga, masyarakat mahupun negara. Semoga dengan menghidupkan sunnah Rasulullah, Allah SWT akan mengurniakan banyak kebaikan  kepada diri kita.

Perkara ketiga yang perlu di pelihara ialah akhlak kita dengan Allah, sehingga apabila hampir dengan kematian, para malaikat akan menyeru: “Wahai jiwa yang tenang, pulanglah kamu kepada Allah dalam keadaan Allah redha kepadamu dan kamu meredhai ketentuan Allah kepada kamu. Masuklah kamu di kalangan hamba-hamba Ku (Allah) dan kamu masuklah ke dalam syurga yang telah disediakan oleh Allah”. Akhlak yang baik mementingkan redha Allah berbanding redha manusia  di dalam hidupnya dan di antara caranya ialah memakan makanan yang halal, menjaga pandangan mata dan tutur kata. Mereka yang berada di kalangan orang-orang yang tidak mendapat redha Allah, apabila saat ajalnya tiba kelak, mereka akan disumpah seranah oleh Allah melalui malaikat-Nya serta dibenci oleh para malaikat. Selain itu peliharalah juga redhanya manusia, iaitu ibu bapa kita sendiri. Jangan sesekali menyinggung perasaan mereka dan meninggal dunia di dalam keadaan diri tidak diredhai oleh ibu bapa. Bagi seorang isteri, pastikan dia diredhai suami ketika hidupnya kerana tidak ada tempat untuknya di dalam syurga Allah jika meninggal dunia di dalam keadaan tidak diredhai suami.

Jika kita berada di dalam keadaan tidak menjaga perkara-perkara tersebut, kita tidak mempersiapkan bekalan untuk mati sedangkan Rasulullah menyebut bahawa tanah kubur sentiasa memanggil-manggil dan menyebut nama kita, “Wahai anak Adam, sudah bersiapkah dirimu?”. Ada juga di dalam riwayat lain yang menyatakan malaikat Izrail sentiasa datang menziarahi untuk melihat sama ada kita sudah bersiap untuk kita menghadap Allah. Orang yang sudah bersedia akan merasa nikmat ketika bersedekah, semakin khusyuk solatnya, membalas kebaikan ke atas kejahatan yang dilakukan kepada dirinya, membasahi bibir dengan zikir kepada Allah dan sentiasa berselawat kepada Rasulullah.

Bayangkan pada waktu malaikat mula datang untuk mencabut nyawa, sebagaimana hadis yang diriwayatkan oleh Barra’ bin Aziq dan Anas bin Malik yang menceritakan saat kematian. Malaikat berkata: “Wahai anak Adam, aku mencari setitik air untuk kamu minum sudah tidak ada, aku cari selangkah untuk kamu melangkah sudah tidak ada, aku mencari sepatah perkataan yang keluar daripada mulut kamu sudah tidak ada. Wahai roh sila keluar daripada jasad ini.” Kemudian roh orang mukmin akan berkumpul di bahagian hujung kaki. Roh akan ditarik sedikit demi sedikit dan pada ketika itu kita mula merasai kesakitan yang amat sangat. Setelah roh naik hingga ke halkum, orang mukmin akan dapat melihat dirinya berada ditempat yang indah, mulutnya akan menyebut kalimah ‘lailaha illallah muhammadur rasulullah’.

Berdoalah agar kita tergolong di kalangan roh orang-orang mukmin yang ditentukan syurga Illiyeen. Apabila berada di alam barzakh kita dapat melihat jenazah kita diuruskan dan dikapankan. Setelah itu diusung sehingga ke tanah perkuburan dan apabila jasad diturunkan ke liang lahad, berlakulah himpitan kubur. Kemudian, kelihatan malaikat Mungkar dan Nakir berada di hujung kaki yang bersiap sedia untuk memulakan sesi soal jawab apabila jasad dikebumikan. Ada yang diajukan soalan yang pendek dan ada juga yang diajukan dengan pelbagai soalan. Sekiranya soalan–soalan itu gagal dijawab, maka akan bermulalah azab kubur.

Selesai menjalani sesi soal jawab, bagi mereka yang dapat menjawab soalan daripada malaikat, kubur akan dilapangkan dan jasad akan didudukkan serta diperlihatkan keadaan terbenamnya matahari pada hari pertama kita berada di alam barzakh. Malaikat berkata: “Sudah tidak ada solat untukmu, tidak ada lagi haji untuk kamu, tidak ada lagi puasa pada diri kamu…tetapi mulai daripada sekarang tidurlah kamu bagaikan malam pengantin baru bagi kamu.” Pada saat itu kita bersujud pada Allah kerana terlepasnya kepenatan yang panjang di dunia, untuk kerehatan yang panjang di dalam perjalanan menuju akhirat.

Sesungguhnya kehidupan yang kita lalui ini, bukanlah semakin panjang atau semakin lama tempohnya, tetapi saat tibanya ajal semakin hampir dengan kita. Beruntunglah jika kita sentiasa bermuhasabah dan merenung perjalanan hidup ini, bagaimana kesudahannya nanti? Alangkah ruginya sesiapa yang membiarkan hidupnya hanyut sehingga kematian menjelma, dan pada waktu itu tiba-tiba dia memalingkan dirinya daripada mengingati Allah kerana tidak ada persiapan dan apa-apa bekalan pada dirinya. Mudah-mudahan kita tergolong di kalangan mereka yang sentiasa mempersiapkan diri untuk kembali kepada Allah. Berdoalah agar Allah menyelamatkan kita di alam barzakh dan ditempatkan di kalangan orang-orang yang salih. Jangan pula sewaktu kembali nanti, Allah tidak memandang kepada kita kerana kita sendiri tidak bersedia untuk bertemu dengan-Nya.

Rencana ini telah disiarkan dalam segmen Agama akhbar Berita Harian edisi 7 April 2016
\"2016-04-07\"
WhatsApp
Scroll to Top