SESUNGGUHNYA dalam kehidupan kita sentiasa memerlukan motivasi dalam bentuk kisah-kisah sejarah yang membawa pengajaran. Persoalannya, bagaimana mahu mewujudkan minat anak-anak muda terutamanya terhadap kisah-kisah sejarah ini. Sebaiknya, lihat bagaimana Allah SWT membentangkan kisah-kisah sejarah menerusi ayat-ayat Al-Quran untuk sama-sama kita hayati.
Melalui segmen Ibrah yang bersiaran di IKIMfm pada hari Selasa minggu lalu jam 5.15 petang. Ustaz Muhammad Syaari Ab. Rahman berkongsi kisah sejarah enam kaum yang dirakamkan menerusi Surah Al-Qamar.
Mesej utama yang ingin disampaikan menerusi surah ini ialah setiap manusia akan merasai mati dan akan menemui hari Kiamat. Ketika menyampaikan kisah-kisah sejarah, perkara yang penting ialah apakah tujuan kisah sejarah itu disampaikan. Pelbagai fakta kita boleh kongsikan antaranya bila, di mana dan siapa yang terlibat dalam kisah sejarah tersebut, tetapi apa yang paling penting supaya tidak menimbulkan kebosanan ialah apakah pengajaran yang dapat diambil dalam setiap kisah sejarah tersebut.
Kisah sejarah seperti inilah yang Allah SWT rakamkan di dalam Surah Al-Qamar dan apa yang Allah SWT gambarkan adalah lebih dahsyat dan lebih gerun.
6 cerita menerusi Surah Al-Qamar ini melibatkan kisah Kaum Nuh, Kaum Hud, Kaum Salleh, Kaum Lut, kisah Firaun dan Kaum Quraisy. Allah SWT memulakan Surah Al-Qamar dengan peringatan tentang hari Kiamat. Ertinya semua kisah-kisah ini akan dihalakan kepada satu tujuan, iaitu Kiamat sudah dekat dan semua individu menghala ke hari tersebut. Tujuan yang Allah SWT ingin sampaikan menerusi kisah sejarah kaum-kaum ini ialah cerita mereka sengaja tidak mengambil peduli mengenai hari Kiamat yang bakal datang.
Ramai orang yang tidak mengingati mati dan tidak mengambil pengajaran kisah-ksiah terdahulu. Pepatah Barat menyebut “Pelajaran yang paling besar daripada sejarah ialah mereka yang tidak mengambil pengajaran daripada sejarah tersebut”.
Peristiwa mukjizat yang menjadi tema Surah Al-Qamar ini, iaitu peristiwa mukjizat bulan dibelah dua. Allah SWT menunjukkan mukjizat ini sebagai tanda kepada kaum Quraisy. Bagaimanapun, mereka tetap mendustakan mukjizat ini dan mereka mengatakan ini sihir yang paling hebat daripada Nabi Muhammad SAW. Allah SWT menghadirkan mukjizat ini dengan tujuan untuk membuktikan Allah SWT boleh menjadikan apa juga kepada alam sekitar mengikut kehendak-Nya.
Seterusnya, dalam menyampaikan kisah sejarah, Allah SWT membentangkan pendekatan yang kedua ialah Allah SWT memulakan kisah sejarah dengan kesimpulan daripada kisah tersebut. Kesimpulan ini diceritakan di dalam Surah Al-Qamar ayat 2-5 yang bermaksud : Dan kalau mereka (kaum musyrik Mekah) melihat sesuatu mukjizat, mereka berpaling ingkar sambil berkata: (Ini ialah) sihir yang terus menerus berlaku. Dan (telah menjadi adat) mereka mendustakan (Nabi Muhammad dan mukjizat-mukjizat yang dibawanya) serta menurut hawa nafsu mereka, sedang tiap-tiap perkara tetap (menurut keadaan yang ditentukan oleh Allah). Dan sesungguhnya! Telah sampai kepada mereka (dengan perantaraan Al-Quran), sebahagian dari kisah-kisah dan berita (umat-umat yang telah lalu), yang mengandungi perkara-perkara yang cukup untuk mencegah mereka (dari perbuatan kufur itu). (Yang demikian ialah) pengajaran yang cukup sempurna; dalam pada itu, segala peringatan dan amaran tidak akan mendatangkan faedah (kepada mereka yang ingkar).
Kita perlu menghayati dan menggunakan kaedah menyampaikan kesimpulan daripada kisah sejarah sebelum membawakan kisah sejarah tersebut agar mereka berdebar mengikuti kisah dan menghayati kisah sejarah yang ingin diceritakan. Kemudian Allah SWT menyambung kembali peringatan kepada kaum Quraisy tentang mengingati mati dan hari Kiamat menerusi surah Al-Qamar. Begitu dahsyat Allah SWT gambarkan keadaan hari Kiamat menerusi ayat 7-8 Surah Al-Qamar yang bermaksud : (Pada saat itu) masing-masing dengan keadaan menundukkan pandangannya kerana ketakutan keluar dari kubur seperti belalang yang terbang bertebaran. (Surah Al-Qamar, 7). Masing-masing dengan cepatnya menuju kepada penyeru itu. (Pada saat yang demikian), orang-orang yang kafir berkata: Hari ini ialah hari yang amat sukar! (Surah Al-Qamar, 8).
Selain daripada kisah Kaum Quraisy, surah Al-Qamar juga ada mengisahkan tentang kaum Nabi Nuh AS yang diazab oleh Allah SWT. Persembahan Allah SWT terhadap azab yang menimpa kaum ini sangat menggerunkan. Kisah ini digambarkan menerusi sambungan surah ini yang bermaksud : Maka Kami bukakan pintu-pintu langit, dengan menurunkan hujan yang mencurah-curah.(Surah Al-Qamar,11). Dan Kami jadikan bumi memancarkan mata air-mata air (di sana sini), lalu bertemulah air (langit dan bumi) itu untuk (melakukan) satu perkara yang telah ditetapkan. (Surah Al-Qamar, 12).
Setelah Allah SWT menghantar air untuk membinasakan sesuatu kaum, kemudian Allah SWT menceritakan bagaimana angin pula menjadi tentera-tentera Allah SWT yang menimpa kaum ‘Aad, yang ingkar kepada ajaran Nabi Hud AS. Angin ini telah datang membawa ribut yang kencang selama tujuh hari tujuh malam yang sangat menggerunkan sehingga mencabut nyawa-nyawa mereka seperti pohon kurma yang telah mati terburai dan terbongkar batang-batangnya.
Kemudian Allah SWT gambarkan kisah Kaum Thamud. Setiap kali Allah SWT membawakan kisah-kisah kaum ini, Allah SWT tidak terus membawakan kisah azab yang menimpa mereka, tetapi Allah SWT menggambarkan betapa kasih sayang Allah SWT mengutus para rasul. Kemudian Allah SWT menggambarkan bagaimana mereka memilih untuk mendustakan para rasul lalu Allah SWT menggambarkan proses azab yang menimpa mereka seterusnya apa yang berlaku selepas azab itu. Kisah-kisah ini dibawakan dengan ringkas tetapi benar-benar menggoncang jiwa.
Ustaz Syaari kemudian menyambung kisah azab kaum Thamud yang mati akibat pekikan yang kuat. Dalam Surah Al-Qamar ini juga turut mengisahkan derita azab hujan batu yang menimpa kaum Nabi Lut. Kisah Firaun juga dibawa menerusi Surah Al-Qamar ini yang dihinakan oleh Allah SWT hanya melalui dua ayat sahaja di dalam Surah Al-Qamar ini.
Allah SWT membentangkan setiap kisah sejarah ini seperti seolah-olah ada unsur interaksi. Setiap cerita kaum yang disampaikan, Allah SWT akhiri dengan kesimpulan yang sama menerusi surah ini yang bermaksud : Oleh itu, perhatikanlah bagaimana buruknya azabKu dan kesan amaran-amaranKu. (Surah Al-Qamar, 16). Dan demi sesungguhnya! Kami telah mudahkan Al-Quran untuk menjadi peringatan dan pengajaran, maka adakah sesiapa yang mahu mengambil peringatan dan pelajaran (daripadanya)? (Surah Al-Qamar, 17)
Kemudian, di akhir surah ini, Allah SWT kembali mengingatkan tentang hari Kiamat yang menjadi tujuan utama surah ini. Semoga setiap kisah yang dibawakan menerusi ayat-ayat Allah SWT dapat menjadi peringatan. Ustaz Syaari kemudian mengingatkan “belum tentu orang yang ingat, boleh mengambil peringatan”.
Rencana ini telah disiarkan dalam segmen Agama akhbar Berita Harian edisi 29 Mac 2016