ISTERI cerdik yang solehah, Penyejuk mata penawar hati penajam fikiran, di rumah dia isteri di jalanan kawan, di waktu kita buntu, dia penunjuk jalan. Itulah bait-bait lirik bagi sebuah lagu nasyid yang mengungkapkan tentang betapa mulianya seorang wanita yang bergelar isteri pada kacamata suami dan anak-anak. Isteri adalah permaisuri suami. Isteri juga dianggap sebagai penyeri keluarga. Tanggungjawab seorang isteri ialah perlu taat dan patuh kepada suaminya. Kesetiaan isteri kepada suaminya perlu diutamakan terlebih dahulu lebih daripada keluarga terdekatnya sendiri.
Ketika membicarakan tajuk ‘Berikan Semangat Isterimu’ dalam rancangan Pesona D’ Zahra pada minggu lalu di IKIMfm jam 10.15 pagi, Ustaz Muhammad Abdullah Al-Amin berkata Nabi Adam AS diberi tempat oleh Allah SWT di syurga dan baginya diciptakanlah Hawa untuk mendampinginya dan menjadi teman hidupnya, menghilangkan rasa kesepainnya dan melengkapi keperluan fitrahnya untuk mengembangkan keturunan. Hawa diciptakan oleh Allah SWT dari slah satu tulang rusuk Nabi Adam a.s. sebelah kiri sewaktu beliau masih tidur sehingga saat beliau terjaga, Hawa sudah berada di sampingnya.Allah telah berfirman kepada Nabi Adam: “ Hai Adam, diamilah oleh kamu dan isterimu syurga ini, dan makanlah makanan-makanannnya yang banyak lagi baik di mana saja yang kamu sukai , dan janganlah kamu dekati pohon ini, yang menyebabkan kamu termasuk orang-orang yang zalim.” (Surah Al –Baqarah, ayat 35).
Ternyata terdapat hikmah di sebalik penciptaan kedua-dua insan ciptaan Allah SWT ini iaitu berperananuntuk saling lengkap-melengkapi antara satu sama lain. Sesungguhnya dalam kehidupan ini tidak semuanya indah. Telah diceritakan bahawa iblis tidak berhenti menggoda Adam dan Hawa untuk memakan buah khuldi, satu-satunya buah yang dilarang oleh Allah untuk dimakan ketika berada di dalam syurga.Akhirnya, godaan iblis tersebut berhasil, kerana Adam dan Hawa mengambil keputusan memakan buah tersebut. Meskipun, sudah bertaubat dan Allah SWT pun telah menerima taubat daripada kedua-duanya, namun mereka diarahkan untuk keluar dari syurga dan diturunkan ke bumi.
Rentetan daripada kisah tersebut, kaum wanita telah mendominasi kaum lelaki. Buktinya peristiwa berkenaan dapat dilihat paza zaman Nabi Luth a.s yang menerima azab akibat melakukan perbuatan yang telah melanggari syariat Allah SWT. Begitu juga pada zaman Nabi Nuh a.s. yang terkenal sebagai nabi yang fasih berbicara, bijaksana, dan sabar dalam menjalankan tugas menyampaikan risalah Islam kepada umatnya. Bagaimanapun, kaumnya tidak mengendahkan segala ajaran yang dibawa oleh Nabi Nuh a.s. Sehinggalah Allah SWT menurunkan musibah; banjir besar yang amat dahsyat menghanyutkan kaumnya yang ingkar.
Masa terus berlalu dan kaum lelaki kemudiannya semakin bertambah manakala kaum wanita pula terus menjadi mangsa pembunuhan dan penganiayaan. Akhirnya, kelahiran Rasulullah SAW adalah umpama cahaya bulan yang menyinari kegelapan malam.
Kebangkitan Baginda sebagai utusan Allah telah berjaya memimpin dan membimbing umat manusia ke jalan yang lurus. Sejarah telah membuktikan bahawa Rasulullah SAW merupakan pembela kaum wanita yang terulung. Perutusan Baginda sebagai Nabi dan Rasul, bukan sahaja membawa risalah Islam yang sempurna, bahkan sekaligus berjaya meletakkan kaum wanita ke satu taraf yang lebih mulia, berbanding nasib mereka dalam era zaman jahiliah. Rasulullah SAW pernah bersabda: Orang yang paling baik di kalangan kamu adalah mereka yang berbuat baik kepada wanita dan anak-anak perempuan mereka.
Di samping itu, Ustaz Muhammad menyarankan agar kaum lelaki untuk memelihara kaum wanita atau isteri dengan sebaik mungkin. Oleh itu, bagi memelihara taraf kaum wanita, perubahan sikap perlu bermula dari kaum lelaki yang menjadi pemelihara dan pelindung kaum wanita. Sementara kaum wanita sendiri perlu menghargai diri sendiri dan bangun menyatakan hak mereka dengan menyayangi dan menghormati kaum lelaki yang sentiasa melindungi mereka. Dalam hidup berumahtangga, adalah menjadi peranan para suami untuk memberikan semangat kepada isteri-isteri yang mereka kasihi. Tidak dinafikan, memiliki zuriat merupakan impian setiap insan yang berkahwin. Justeru, hargailah saat-saat di mana isteri sanggup berkorban masa dan tenaga sewaktu mengandung dan melahirkan zuriat. Rumahtangga yang sunyi dari esak tangis dan gelak tawa anak-anak pasti sepi, sesepi perasaan isteri dan suami yang mengharap. Namun rezeki adalah di tangan Allah SWT.
Dalam melayari bahtera rumahtangga , para suami turut dituntut agar tidak memperkecilkan tanggungjawab yang dipikul oleh si isteri. Suami seperti imam bertanggungjawab untuk memimpin keluarga ke mercu kejayaan. Kejayaan suami hanya terbukti apabila dia dapat menjalankan tanggungjawabnya selaku ketua keluarga dengan baik dan bijak.Misalnya, memberi keizinan kepada isterinya untuk menghadiri majlis-majlis ilmu yang dianjurkan oleh pihak masjid, surau dan sebagainya. Ataupun bagi memantapkan lagi hubungan kekeluargaan, suami turut serta bersama –sama isteri dan anak-anak ke majlis tersebut. Selain itu, para suami dinasihatkan tidak membiarkansi isteri secara bersendirian . Walaupun isteri sanggup memikul bebanan dan tugasan untuk suami , waima itu adalah tugas suami , sebagai suami tidak seharusnya mengambil kesempatan terhadap kebaikan isteri. Sebaik-baiknya janganlah biarkan isteri membuat semua kerja secara berseorangan dan akhirnya kepenatan.
Justeru, marilah kita bersyukur dengan isteri yang dianugerahkan oleh Allah SWT kepada kita dan bersamalah kita memperbanyakkan berdoa memohon supaya Allah terus memberikan kekuatan untuk kita memberikan semangat dan perangsang buat isteri yang dikasihi selama ini.
Rencana ini telah disiarkan dalam segmen Agama akhbar Berita Harian edisi 28 Mac 2016