Bina Keluarga Sunnah

SUNGGUH, bertuah buat ibu ayah yang punya anak soleh atau solehah. Namun, jauh lebih bertuah apabila anak-anak miliki ibuayah yang soleh dan solehah. Justeru itu, Islam tampil sebagai model terbaik memberi bimbingan dan panduan kepada manusia dalam melahirkan sebuah keluarga bahagia dan dirahmati serta diredhai Allah SWT. Selaku ibu bapa pasti berharap supaya dikurniakan anak-anak yang baik dan soleh yang bakal menjadi penyejuk mata dan penawar hati. Anak-anak bukan sahaja dapat membantu mereka di dunia bahkan diharap dapat membantu ke alam akhirat. Itu adalah tunjang perbincangan Usrah Nurani Jumaat lalu yang telah di naqibkan oleh Ustaz Ebit Irawan Ibrahim Lew atau lebih dikenali sebagai Ustaz Ebit Lew bersama rakan usrah di konti penyanyi yang telah lama menghilang dalam dunia seni iaitu Alfira dan Saudara Ayed Putra Haizam.

Sabda Rasulullah SAW bersabda mafhumnya : “Apabila telah mati seorang anak Adam, maka putuslah amalnya kecuali tiga perkara, iaitu : Sedekah jariah, Ilmu yang bermanfaat dan anak yang soleh yang mendoakan kepadanya”(Hadis Riwayat Muslim). Justeru, jika mengidam mendapat zuriat yang terbaik dan soleh, sewajarnya pendidikan berkaitan dengan fardhu ain dan fardhu kifayah diberikan dengan sempurna kepada mereka sejak dari awal mengenal kehidupan.

Proses mendidik anak merupakan suatu tugas dan tanggungjawab yang besar serta mencabar terutamanya dalam dunia yang serba canggih hari ini. Asuhan yang berasaskan sunnah amat janggal dan terasing dalam masyarakat. Itu diakui sendiri oleh Alfira ketika beliau mula-mula menerapkan budaya sunnah di dalam keluarga beliau sendiri. Tetapi alah bias tegal biasa. Setelah melalui pelbagai dugaan akhirnya beliau membuktikan usaha tersebut tidak sia-sia asal niat awal di sandarkan sepenuhnya kerana Allah SWT.

Diantara perkara-perkara utama yang perlu diberi perhatian oleh ibu bapa dalam proses melahirkan zuriat yang soleh sentiasa berdoa kepada Allah SWT. Amalan ini merupakan amalan yang dilakukan oleh para nabi dan rasul. Firman Allah yang bermaksud : “Wahai tuhan kami kurniakanlah kepadaku dari sisimu zuriat keturunan yang baik, seseungguhnya engkau sentiasa mendengar (menerima) doa permohonan.”. (Surah Ali – Imran, ayat: 38).

Selain itu, tanamkan akidah yang utuh di dalam diri anak-Anak sebagai asas dan tunjang utama kehidupan mereka. Anak-anak yang mempunyai pegangan akidah yang mantap tidak akan mudah untuk menyeleweng atau diselewengkan. Lebih-lebih lagi dapat melahirkan insan yang sentiasa dapat menjaga iman mereka serta menjauhi perkara-perkara syirik yang boleh menyesatkan mereka di kemudian hari.

Di samping itu, beri penekanan terhadap tuntutan ibadah mereka. Penekanan dari sudut ibadah yang sempurna melambangkan sifat kepatuhan dan ketaatan  kepada Allah. Selain itu, sebagai tanda penyempurnaan  jalinan hubungan dengan Allah SWT sepanjang masa dengan sentaisa menyerahkan segala jiwa dan raganya terhadap setiap suruhan dan meninggalkan segala larangannya pada setiap masa. Secara tidak langsung ia akan menyedarkan anak-anak tentang sifat-sifat manusia sebagai hamba disisi Sang Maha PEncipta bersesuaian dengan firman Allah SWT:  “Sesungguhnya solatku dan ibadatku, hidupku dan matiku hanyalah untuk Allah tuhan yang memelihara dan mentadbir sekelian alam” (Surah al-Anam, ayat 162).

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Tidak ada sesuatu yang lebih berat diatas neraca timbangan seseorang hamba di hari kiamat selain dari akhlak yang mulia” (Hadis Riwayat Abu Daud dan Tirmizi). Justeru, penting bagi kedua ibubapa mendidik anak-anak tentang akhlak mulia dan semestinya bersandarkan akhlak junjungan mulia Nabi Muhammad SAW kerana tujuan utama diutuskan Baginda adalah untuk menyempurnakan akhlak manusia.

Disebabkan anak adalah harta paling berharga selepas iman kepada Allah dan RasulNya, maka ia menjadi salah satu faktor yang mendekatkan diri kepada Allah SWT. Rasulullah SAW menegaskan menerusi sabda Baginda SAW: “Anak-anakmu adalah penduduk kecil syurga.” (Hadis Riwayat Ahmad, Bukhari dan Muslim). Anak kecil bukan saja memerlukan penjagaan rapi, malah kasih sayang sepenuhnya daripada ibubapa. Malah, anak adalah faktor kemuliaan dan keagungan ibubapa seperti dinyatakan dalam hadis, bermaksud: “Tidak ada anak di dalam sesebuah keluarga melainkan mulialah ke luarga itu.” (Hadis Riwayat Tabrani).

Oleh itu, berilahn pendidikan yang sempurna kepada anak-anak demi melihat generasi yang terbaik di masa hadapan. Korban sedikit masa dan harta untuk mereka serta usah lokek beri kasih sayang dengan menunjukkan contoh terbaik kepada mereka. Ambil tahu hal-hal yang berkaitan dengan kehidupan anak-anak termasuk cara berpakaian dan pergaulan mereka. Ini semua membuktikan ibubapa itu telah melaksanakan amanah Allah SWT terhadap anak-anak dengan baik dan sempurna.

Membangun keluarga Sunnah pada hakikatnya adalah mendekatkan keluarga dengan nilai-nilai Islam. Semakin dekat sebuah keluarga dengan ajaran Islam, maka akan semakin hampir keberkahan dalam kehidupan rumahtangga yang di bina dan lebih mudah mencapai redha Allah SWT.

Rencana ini telah disiarkan dalam segmen Agama akhbar Berita Harian edisi 25 Mac 2016
\"2016-03-25\"
WhatsApp
Scroll to Top