Kasihanilah Kita dan Dia

KELOMPOK pendosa di alam barzakh ialah kelompok manusia yang beriman kepada Allah tetapi semasa hidupnya telah melakukan dosa-dosa sehinggalah terpaksa menanggungnya ketika berada di alam kubur. Golongan ini amat dikasihani kerana betapa malangnya mereka kerana kembali menghadap Allah SWT di dalam keadaan tidak bersedia dan bergelumang dengan dosa, malah menerima azab di alam kubur sebelum berada di padang mahsyar.

Ustaz Ahmad Dusuki Abdul Rani di dalam slot Mau’izati di IKIMfm pada Khamis, jam 5.15 petang, menerangkan bahawa Rasulullah SAW menjelaskan golongan manusia yang berada di dalam kelompok ini adalah mereka yang meninggal dunia di dalam keadaan masih menanggung hutang. Di sebut di dalam hadis riwayat Imam Tirmizi, Ibnu Majah & Al-Baihaqi, Abu Hurairah menyebut bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Jiwa (roh) seorang mukmin itu akan tergantung kerana hutangnya sehinggalah hutang itu diselesai dan dilangsaikan.” Pernah berlaku satu peristiwa Rasulullah enggan menyembahyangkan orang yang meninggal dunia kerana si mati masih menanggung hutang sebanyak dua dinar. Ibnu Qatadah al-Ansari berkata kepada baginda: “Ya Rasulullah, biarkan saya yang menanggung hutang dua dinarnya itu.” Mendengar pengakuan itu, lalu Baginda bersetuju untuk menyembahyangkan jenazah tersebut. Malah roh mereka yang mati syahid sekalipun akan tergantung akibat hutang yang tidak dilangsaikan ketika hayatnya.

Selain itu mereka yang memutuskan tali silaturrahim juga tergolong di kalangan kelompok yang amat dikasihani kerana menerima azab di alam barzakh nanti.  Rasulullah SAW berpesan: “Tidak akan masuk syurga bagi orang yang meninggal dunia dalam keadaan dia memutuskan tali silaturrahim.” Baginda bersabda, “Tidak halal bagi seorang muslim yang tidak bertegur-sapa di antara satu sama lain lebih daripada tiga hari tiga malam. Dan masing-masing tatkala bertembung di antara satu sama lain, mereka akan memalingkan muka. Orang yang terbaik di kalangan mereka itu, ialah siapa yang mula-mula memberi salam.” Rasulullah SAW juga menggalakkan kita menyebarkan salam untuk mengeratkan tali silaturrahim.

Golongan ketiga yang berada di dalam kekeliruan ketika kembali menghadap Allah ialah mereka yang meninggal dunia di dalam keadaan tidak berwasiat.  Wasiat pada zahirnya lebih meninggalkan kesan berbanding nasihat. Sebagai seorang ibu atau bapa digalakkan memperbanyakkan wasiat kepada ahli keluarga, di antaranya ialah hal-hal berkaitan takwa kepada Allah, harta benda dan sebagainya. Ibnu Qabisah menyebut bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Barang siapa yang tidak berwasiat, tidak diizin baginya berbicara dengan orang-orang yang sudah meninggal dunia di dalam kubur nanti.”

Keadaan kelompok manusia yang seterusnya ialah orang yang hidup mencela keadaan peribadi orang yang telah meninggal dunia, menyebabkan jenazah akan merasa tersiksa dengan keburukan yang disebut-sebut tentang dirinya. Hadis yang diriwayatkan oleh Aisyah RA menuturkan bahawa Rasulullah SAW pernah bersabda: “Sesungguhnya mayat di dalam kubur itu merasa sakit di dalamnya dengan sesuatu yang dapat menjadikannya berasa sakit di dalam rumahnya.” Imam Qurtubi rahimallah menyatakan mungkin sahaja orang yang telah meninggal dunia itu dapat merasakan sakit atas ucapan atau perbuatan yang dilakukan oleh orang yang masih hidup. Mungkin juga kesakitan itu disebabkan oleh kekasaran dan siksaan yang dilakukan malaikat sebagai balasan perbuatan yang pernah dilakukan sewaktu hidupnya di dunia dahulu.

Seterusnya, keadaan mereka yang kembali menghadap Allah akan merasa sakit dengan dosa-dosa yang dilakukan oleh orang yang masih hidup, iaitu ratapan mereka ke atas diri si mati. Dalam Islam adalah dilarang sama sekali perbuatan meratap di atas kematian seseorang sehingga kadang-kala memukul-mukul muka dan badan mereka sendiri kerana ia akan menyakitkan si mati. Aisyah RA berkata  Abu Abdul Rahman menyatakan, keluarga orang yang meninggal itu menangisinya dan sesungguhnya dia akan diazab akibat kejahatan yang ditangisi tadi (hadis riwayat al-Bukhari dan Imam Muslim). Selain itu, hadis mengenai seorang mayat yang diazab akibat tangisan orang yang masih hidup, diriwayatkan oleh Abu Ya’la dan  Abu Bakar al-Sidiq dengan lafaz: “Disiramkan kepadanya air mendidih akibat tangisan orang yang masih hidup.”

Keadaan kubur orang meninggal dunia yang digunakan untuk laluan orang ramai akan mengakibatkan penghuni kubur itu tersiksa di dalamnya. Hadis Rasulullah SAW yang disampaikan oleh Ibnu Syaibah daripada al-Hakim menuturkan Uqbah bin Ibnu Amir al-Syaibi berkata: “Berjalan di atas bara api ataupun mata pedang yang tajam yang dapat memotong kedua kakiku lebih aku sukai daripada harus berjalan di atas kubur orang muslim”. Sewaktu menziarahi kubur, pastikan kita beradab dan tidak melangkah di atas kubur tanpa mempedulikan keadaan mereka yang disemadikan di kawasan itu, kerana mereka akan tersiksa dengan pijakan manusia yang melintasi kubur mereka.

Selain daripada itu, perbuatan manusia yang suka duduk bersantai dan membazirkan masa dengan berbual-bual kosong di atas kubur juga akan menyebabkan siksaan ke atas penghuninya. Ammara’ Ibnu Haz berkata Rasulullah SAW pernah melihatnya duduk di atas satu kubur, lalu Baginda menegur, “Hai orang yang di atas kubur, turun kamu! Jangan kamu menyakiti penghuninya, nescaya dia tidak akan menyakiti kamu.” Ini adalah di antara keadaan yang perlu kita mengasihani penghuni kubur dan diri kita sendiri supaya kita tidak berada di dalam keadaan melakukan dosa di dalam hidup apabila kembali menghadap Allah SWT kelak.

Sepanjang hidup ini banyakkan bertaubat kepada Allah dan sentiasa mengucapkan “Wahai  tuhanku, ampunkanlah dosaku ya Allah.” Kasihanilah diri kita kerana ramai di kalangan manusia tidak mengasihani dirinya sendiri dengan bersusah payah mengejar dunia, tetapi sebaliknya tidak pernah bersungguh-sungguh untuk mengejar akhirat. Jangan sampai apabila tiba saat hujung nyawa baru terlintas untuk kembali bertaubat kepada Allah kerana sesungguhnya kita sudah berada di dalam kerugian. Selain itu jangan abaikan untuk sentiasa berdoa kepada mereka yang sudah meninggal dunia, terutamanya ibu bapa kita, para guru dan sahabat-sahabat yang salih, mudah-mudahan dengan berkat kesungguhan doa itu akan mendatangkan belas kasihan Allah kepada diri kita.

Rencana ini telah disiarkan dalam segmen Agama akhbar Berita Harian edisi 17 Mac 2016
WhatsApp
Scroll to Top