Mendaki Mercu Kejayaan

“Usaha Itu Tangga Kejayaan”. Pepatah  yang sering kita dengar. Umpama menaiki tangga, tanpa usaha pasti tidak akan dapat mendaki untuk kepuncak yang tinggi. Selangkah demi selangkah kaki diangkat, perlukan kudrat dan tenaga.

Kita dapati banyak sekali ayat-ayat  Al Quran dan hadis yang menyeru  umatnya supaya sentiasa berusaha untuk mencapai kejayaan sama ada di dunia mahupun di akhirat. Usaha dan amalanlah yang menjadi perkara yang  dinilai oleh Allah SWT  sebagaimana firman-Nya yang bermaksud, “Dan katakanlah (wahai Muhammad): Hendaklah kamu semua berusaha (beramal) kerana Allah akan melihat dan menilai apa yang kamu usahakan.” (Surah At-Taubah,ayat 105). Sesungguhnya kejayaan bukan datang secara bergolek, bahkan ia mesti disusuli dengan iltizam yang tinggi demi mencapai cita-cita yang disasarkan. Tetapkanlah matlamat  kita untuk mengejar cita-cita yang sebenar untuk masa hadapan. Kesan yang mendalam bakal terhasil akibat daripada momentum atau tindak balas daripada semangat  berjuang dalam mengejar  cita-cita  yang sebenar.

Dalam rancangan Pesona D’ Zahra  pada Isnin  lalu  di radio IKIMfm jam 10.15 pagi yang membawakan tajuk  ‘Dua Rahsia Kejayaan’, Ustaz Muhammad Abdullah Al-Amin  berkata sebagai tanda kasih dan sayang pada umat-Nya, Allah  SWT menjanjikan kejayaan  yang dikurniakan secara langsung  (wahbiyah)  tanpa sebarang usaha atau  memperolehnya setelah berusaha keras. Tidak dinafikan ada sesetengah manusia meraih kejayaan tanpa diduga. Dari mana datangnya tuah kalau bukan daripada Sang Pencipta yang redha dengan usaha gigih hamba-Nya. Ternyata tuah dan rezeki melimpahi  hidupnya. Mendapat keuntungan yang  luar biasa dalam perniagaan, dinaikkan pangkat oleh majikan, mendapat  gelaran juara dalam sesuatu pertandingan dan sebagainya. Dalam konteks  institusi  kekeluargaan  pula, adakalanya seorang suami   yang  dikurniakan isteri yang  sentiasa amanah  dan cekap ketika menjalankan  tanggungjawab. Hasilnya , mampu mengecap  kemanisan dan kebahagiaan sepanjang mendirikan rumah tangga .  

Semua yang wujud  dalam kehidupan di dunia ini, hadir dengan realiti. Hakikatnya setiap manusia   ingin berjaya . Namun tidak semua  memiliki tuah.  Ada manusia yang memperolehi kejayaan berkat  hasil  usaha yang berterusan (istiqamah). Terdapat  hadis yang menceritakan tentang seorang sahabat Nabi Muhammad SAW  yang datang berjumpa Baginda untuk bertanyakan sesuatu. Beliau ingin meminta nasihat daripada Rasulullah SAW  tentang Islam dan mengharapkan agar  jawapan Baginda nanti akan menjadi kuci kejayaannya dan panduan hidupnya menuju keredhaaan Allah SWT. Lantas Rasulullah SAW menjawab dengan jawapan yang ringkas dan padat: Katakanlah , Aku beriman kepada Allah,” kemudian beristiqamahlah.”

Nasihat  yang ringkas ini amat  berharga dan cukup  bermakna untuk diri sahabat yang bertanya. Malah nasihat itu juga amat berharga dan tidak ternilai untuk kita sebagai umat Islam, Baginda SAW seolah-olah  menyebut  bahawa untuk kita berjaya  di dunia dan akhirat, perteguhkanlah dua tiang utama iaitu  iman yang mantap dan amalan yang  konsisten serta berterusan. Oleh itu,  jika kita selama ini masih lagi berada dalam zon yang selesa, kerap  menangguhkan  tugasan yang diamanahkan,  berusahalah sedaya upaya-upaya untuk melawannya. Manusia yang suka menangguhkan kerja perlu mengira waktu yang berlalu dengan kiraan  saat. Apabila masa yang dirugikan adalah sejam, maka mereka perlu menyedari sebanyak 3,600 saat sudah dimusnahkan. Sehari menyamai 86,400 saat dan seminggu pula menyamai 604,800 saat.

Sesungguhnya manusia dikurniakan oleh Allah SWT dengan rezeki dan nikmat yang berbeza. Ada yang kaya, cerdik, sihat, sempurna sifatnya dan sebagainya.  Kesemua kelebihan yang dianugerahkan oleh Illahi  sebenarnya bukanlah lesen percuma  untuk kita sebagai hamba-Nya berlagak sombong, bongkak, takabbur   terhadap mereka yang ditimpa nasib malang dan kurang bernasib baik. Jauhilah daripada memiliki sifat-sifat mazmumah ini. Allah SWT Maha Mengetahui lagi  Maha Berkuasa. Dia mampu menarik balik segala apa yang diberikan kepada kita dengan sekelip mata sekiranya  hanyut  dalam keangkuhan dan kesombongan. Perkara ini jelas dihuraikan dalam ayat yang bermaksud  “Dan janganlah engkau memalingkan mukamu(kerana memandang rendah ) kepada manusia, dan janganlah engkau berjalan di muka bumi  dengan berlagak sombong ; sesungguhnya Allah tidak suka kepada tiap-tiap orang yang sombong   takbur  lagi membanggakan diri . (Surah Luqman , ayat 18) .

Setiap kesusahan itu ada kemudahan  dan kejayaan .  Untuk meraih kejayaan  secara langsung daripada Allah SWT, kita dianjurkan untuk bersungguh-sungguh dalam memanjatkan doa kepada-Nya. Dalam Al-Quraan terdapat pelbagai doa yang boleh dibaca dan diamalkan untuk mendapat  kesejahteraan dan kejayaan. Selain itu, kita juga dituntut agar menolong agama Allah  dengan mengorbankan harta dan jiwa sepenuhnya kepada Allah SWT . Sebagaimana yang difirmankan oleh -Nya  yang bermaksud  “Hai orang-orang mukmin, jika kamu menolong (agama) Allah, nescaya Dia akan menolongmu dan meneguhkan kedudukanmu.”  (Surah Muhammad , ayat 7 ) .InsyaAllah,  kejayaan juga   pasti  hadir  dengan melakukan amalan-amalan lain seperti membaca  surah Al-Khafi pada malam Jumaat dan meluaskan pembacaan  dan pengetahuan kita  yang menjurus kepada   kisah suka duka di sebalik  kejayaan seseorang  individu atau tokoh.

Peribahasa Melayu ada menyebut  “Kalau tidak dipecahkan ruyong manakan dapat sagunya”, begitu juga dengan kejayaan, tidak mungkin akan dapat diperolehi dan dikecapi tanpa adanya usaha dan pengorbanan. Ayuh, bersamalah  kita berusaha  mendaki tangga  agar dapat mencapai cita-cita dan impian sehingga beroleh kejayaan.

Rencana ini telah disiarkan dalam segmen Agama akhbar Berita Harian edisi 14 Mac 2016
WhatsApp
Scroll to Top