PELAN PEMULIHAN 2018 TH BERJAYA TANGANI KERUGIAN PELABURAN RM12.6 BILION

KUALA LUMPUR, 31 Julai (IKIM) – Lembaga Tabung Haji (TH) menegaskan pelan pemulihan dan penstrukturan semula yang dilaksanakan pada 2018 berjaya menangani kerugian pelaburan berjumlah RM12.6 bilion serta mengembalikan institusi itu ke landasan kewangan yang lebih kukuh dan mampan.

Dalam satu kenyataan hari ini, TH menjelaskan pelan berkenaan dilaksanakan bagi menangani kedudukan defisit kewangan yang ketika itu memerlukan tindakan penyelamatan segera untuk mengelakkan institusi berkenaan daripada berdepan risiko insolvensi.

Menurut TH, jurang antara aset dan liabiliti yang dikenal pasti pada akhir 2017 meningkat kepada lebih RM10 bilion pada penghujung 2018, sekali gus menjejaskan keupayaan institusi itu memenuhi syarat di bawah Akta Tabung Haji untuk mengisytiharkan agihan keuntungan kepada pendeposit.

TH berkata, tanpa pelaksanaan pelan pemulihan tersebut, institusi itu berdepan risiko berlakunya pengeluaran deposit secara besar-besaran yang berpotensi menggugat kestabilan pasaran kewangan negara.

Bagi menangani keadaan itu, kerajaan melalui syarikat tujuan khas milik penuhnya, Urusharta Jamaah Sdn. Bhd. (UJSB), mengambil alih aset-aset kurang berdaya saing dan bermasalah milik TH bernilai RM9.7 bilion dengan nilai transaksi keseluruhan RM19.9 bilion bagi menutup jurang antara aset dan liabiliti serta memastikan TH kekal upaya (solven).

Menurut kenyataan itu, TH turut diberikan Hak Keutamaan untuk Menolak (Right of First Refusal) sekiranya UJSB bercadang menjual semula aset-aset berkenaan pada masa hadapan, namun ia tidak mewajibkan TH membeli semula aset tersebut.

TH memaklumkan, pada tahun ini institusi itu membeli semula dua aset strategik yang memenuhi kriteria pelaburannya, iaitu tanah di Tun Razak Exchange (TRX) pada harga RM270 juta berbanding RM400 juta ketika dijual kepada UJSB, selain UJ Estates (Holdings) Sdn. Bhd. pada harga RM695 juta berbanding harga asal RM800 juta.

Jelas TH, pembelian semula itu membuktikan institusi berkenaan hanya akan mengambil alih aset yang mampu memberikan nilai tambah kepada portfolio pelaburannya demi menjaga kepentingan para pendeposit.

Menurut TH lagi, hasil pelaksanaan pelan strategik, reformasi dan penambahbaikan tadbir urus sejak 2018, kadar agihan keuntungan kepada pendeposit terus menunjukkan peningkatan daripada 1.25 peratus pada 2018 kepada 3.25 peratus pada 2024 dan meningkat kepada 3.50 peratus bagi tahun kewangan 2025.

TH turut menjelaskan agihan keuntungan tersebut dibuat selepas mengambil kira rosot nilai aset bermasalah berjumlah RM2.6 bilion yang tidak dapat dipindahkan kepada UJSB pada akhir 2018 dan telah ditangani secara berperingkat sehingga penghujung 2025.

Menurut kenyataan itu, pelan pemulihan dan penstrukturan yang dilaksanakan berjaya menangani keseluruhan kerugian pelaburan berjumlah RM12.6 bilion, merangkumi RM10 bilion melalui pelan pemulihan 2018 serta baki RM2.6 bilion yang diselesaikan secara berperingkat.

TH menegaskan institusi itu akan terus komited melindungi kepentingan para pendeposit, memperkukuh keyakinan awam serta memastikan pengurusan dana haji negara terus beroperasi berasaskan integriti, akauntabiliti dan tadbir urus yang baik.

WhatsApp
Scroll to Top