KUALA LUMPUR, 30 Julai (IKIM) – Co-opbank Pertama (CBP) terus memperkukuh komitmennya dalam memartabatkan sistem kewangan Islam menerusi penganjuran Muzakarah Muamalat Kewangan Islam (MMKI) 2026 yang menghimpunkan ilmuwan syariah dan pakar kewangan bagi membincangkan cabaran serta hala tuju industri kewangan Islam.
Program yang memasuki penganjuran kali kedua itu mengangkat tema “Antara Realiti dan Persepsi: Memperkasa Naratif Perbankan Islam, Reputasi dan Kredibiliti Sistem Kewangan Islam” dan telah dirasmikan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Dr. Zulkifli Hasan di Hotel Royale Chulan, di sini, hari ini.

Pengerusi CBP, Datuk Baharom Embi berkata, penganjuran MMKI 2026 mencerminkan komitmen berterusan bank itu dalam memperkukuh naratif kewangan Islam serta meningkatkan keyakinan masyarakat terhadap kredibiliti sistem kewangan Islam.
Beliau berkata, pemilihan tema tersebut dibuat berasaskan keperluan semasa bagi menjelaskan realiti pelaksanaan perbankan Islam sekali gus menangani pelbagai persepsi yang boleh menjejaskan keyakinan masyarakat terhadap industri berkenaan.
“Atas kesedaran itulah, pada penganjuran kali kedua MMKI 2026, CBP memilih tema Antara Realiti dan Persepsi: Memperkasa Naratif Perbankan Islam, Reputasi dan Kredibiliti Sistem Kewangan Islam bagi memperkukuh kefahaman masyarakat terhadap sistem kewangan Islam,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurut beliau, CBP turut mengambil inisiatif menghimpunkan para ilmuwan menerusi muzakarah itu bagi mewujudkan garis pemisah yang jelas antara konsep syariah yang sah dengan amalan atau muslihat yang tidak dibenarkan.
Katanya, perbincangan ilmiah tersebut turut menyentuh pendirian hukum syarak berkaitan sistem mata wang serta usaha menyusun semula kepercayaan masyarakat terhadap sistem kewangan moden berasaskan prinsip syariah.

MMKI 2026 menghimpunkan tokoh akademik, ilmuwan Islam dan pakar industri kewangan Islam bagi membincangkan cabaran persepsi masyarakat, memperkukuh keyakinan terhadap institusi kewangan Islam serta menonjolkan kepentingan ilmu dan dialog dalam memperkasa ekosistem kewangan Islam negara.
Penganjuran kali kedua muzakarah itu sekali gus mencerminkan komitmen berterusan CBP dalam memperkukuh ekosistem serta memartabatkan kewangan Islam sebagai sistem yang berdaya tahan, diyakini dan relevan dengan keperluan semasa.




