KUALA LUMPUR, 27 Julai (IKIM) – Kerajaan MADANI pada prinsipnya menyambut baik cadangan untuk menyelaraskan proses penerimaan masuk Peguam Syarie bagi membolehkan mereka beramal di seluruh negeri, sebagai usaha memperkukuh profesion guaman Syariah dan memantapkan sistem keadilan Syariah negara.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Puan Marhamah Rosli berkata ketika ini proses penerimaan masuk Peguam Syarie masih tertakluk kepada bidang kuasa setiap negeri, menyebabkan seseorang peguam yang telah ditauliahkan di sebuah negeri tidak boleh beramal secara automatik di negeri lain.
Menurut beliau, keadaan itu mewujudkan ketidakseragaman dari segi syarat kelayakan, prosedur permohonan dan pengiktirafan, selain menambah beban pentadbiran serta kos kepada pengamal undang-undang Syariah.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Senator Dato’ Setia Salehuddin Saidin pada Persidangan Dewan Negara, hari ini.
Marhamah berkata sebagai langkah susulan, Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) telah menganjurkan Perbincangan Meja Bulat berkaitan penyelarasan pentauliahan Peguam Syarie pada 18 Jun lalu.
Katanya, Konvensyen Profesion Peguam Syarie 2026 yang berlangsung pada 27 Jun pula menghimpunkan pelbagai pihak berkepentingan termasuk Majlis Agama Islam Negeri, Persatuan Peguam Syarie Malaysia dan Majlis Peguam Syarie Wilayah Persekutuan bagi membincangkan hala tuju penyelarasan profesion tersebut.
Beliau menjelaskan, hasil resolusi konvensyen berkenaan akan dibentangkan dalam Mesyuarat Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) untuk pertimbangan lanjut sebelum diperhalusi bagi tindakan seterusnya, termasuk mendapatkan pertimbangan dan perkenan Majlis Raja-Raja sekiranya perlu.
Dalam pada itu, beliau menegaskan bahawa cadangan penyelarasan tersebut bukan bertujuan mengambil alih atau menjejaskan bidang kuasa negeri dalam hal ehwal agama Islam.
Sebaliknya, katanya, kerajaan akan terus melaksanakan usaha itu secara berhemah, inklusif dan berperingkat dengan menghormati bidang kuasa negeri-negeri serta kedudukan Raja-Raja Melayu sebagai Ketua Agama Islam di negeri masing-masing.
Kedit foto: FB Maarhamah Rosli




