Oleh: Haziq Izzuddin Abdullah
AYER KEROH, 27 Julai (IKIM) – Setiap syor, pandangan, serta cabaran yang disuarakan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) menerusi Majlis Pembangunan Usahawan dan PMKS Kebangsaan (MPUPK) akan diperhalusi bagi penambahbaikan dasar sedia ada.
Penasihat Khas MPUPK, Datuk Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, antara perkara yang dibangkitkan ialah permohonan supaya jumlah geran kepada usahawan ditambah bagi menyokong perkembangan perniagaan usahawan-usahawan berkenaan.
Beliau menegaskan bahawa usaha yang dilakukan ini dapat membantu serba sedikit terutama bagi usahawan pemula.

“Antara yang dibangkitkan ialah membabitkan individu yang baharu memulakan perniagaan yang mendakwa ada sedikit masalah, birokrasi dan sebagainya. Perkara ini akan kita perhalusi. Mereka minta longgarkan tadi. Saya setuju, tapi nak longgar sangat pun tak boleh juga sebab ini duit kerajaan,
Ada peraturan dan kaedah tertentu tetapi kita boleh pertimbangkan syarat tersebut. Saya akan bawa perkara ini pada majlis dan mengkajinya,” kata beliau selepas majlis bersama usahawan Bumiputera Zon selatan di sini, hari ini.

Program anjuran SME Corporation Malaysia dan MPUPK itu menghimpunkan kira-kira 250 usahawan PMKS, wakil persatuan, serta Dewan Perniagaan dari Melaka, Negeri Sembilan, dan Johor.
Menurut Wan Rosdy, perjumpaan tersebut berfungsi sebagai jambatan penting antara pihak kerajaan dan komuniti perniagaan.
Beliau memberi jaminan bahawa segala input bernas yang diperoleh mengenai isu pembiayaan, akses pasaran, pendigitalan, serta penyelarasan agensi akan dibawa ke peringkat MPUPK untuk diteliti.




