SHAH ALAM, 27 Julai (IKIM) – Kerajaan Negeri Selangor menyasarkan kehadiran sembilan juta pelancong ke negeri itu menerusi penganjuran Tahun Melawat Selangor 2026, sekali gus memperkukuh kedudukannya sebagai destinasi pelancongan utama negara.
EXCO Kerajaan Tempatan dan Pelancongan Negeri Selangor, Dato’ Ng Suee Lim berkata sasaran itu didorong oleh kejayaan pelaksanaan Tahun Melawat Selangor 2025 serta pelbagai kempen promosi yang telah meningkatkan keyakinan pelancong terhadap produk pelancongan negeri.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Selangor Travel Fair 2026 yang berlangsung di Central Market, Kuala Lumpur.

Menurut beliau, Selangor Travel Fair merupakan antara inisiatif strategik Tourism Selangor bagi memperkukuh promosi pelancongan melalui pelbagai kempen berimpak tinggi seperti Surprising Selangor untuk pasaran antarabangsa dan Selangor Kan Ada bagi pasaran domestik, selain siri jelajah promosi dan kerjasama bersama pemain industri pelancongan.
Beliau turut memaklumkan bahawa Selangor terus mengekalkan kedudukannya sebagai negeri paling ramai dikunjungi di Malaysia selama lima tahun berturut-turut sejak 2021 apabila merekodkan 36.4 juta pelawat domestik pada tahun 2025, meningkat 5.5 peratus berbanding tahun sebelumnya.
Katanya, sektor pelancongan juga terus menjadi pemangkin ekonomi negeri dengan menyumbang kepada pertumbuhan sektor perkhidmatan, sekali gus membantu Selangor mencatat Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) sebanyak RM460.1 bilion atau 26.5 peratus daripada ekonomi negara pada tahun lalu.

Penganjuran Selangor Travel Fair 2026 menghimpunkan lebih 40 jenama pelancongan tempatan yang menawarkan produk merangkumi taman tema, agro dan ekopelancongan, warisan, gastronomi serta sukan.
Acara itu turut dimeriahkan dengan pelbagai aktiviti termasuk pemeriksaan kesihatan percuma menerusi segmen pelancongan perubatan, persembahan kebudayaan, bengkel kreatif, aktiviti interaktif dan promosi pakej pelancongan eksklusif.
Ng berkata, program seperti Selangor Travel Fair bukan sahaja merancakkan sektor pelancongan, malah membuka lebih banyak peluang pekerjaan, meningkatkan pendapatan usahawan tempatan serta merangsang keseluruhan rantaian ekonomi negeri.




