WAKAF PERLU DIBANGUNKAN SECARA INOVATIF DEMI KESEJAHTERAAN UMMAH – SULTAN NAZRIN

KUALA LUMPUR, 27 Julai (IKIM) – Institusi wakaf perlu diberi nafas baharu melalui tadbir urus yang cekap, telus dan berinovasi agar mampu menjadi pemangkin pembangunan mampan serta kesejahteraan ummah pada masa hadapan.

Sultan Perak, DYMM Paduka Seri Sultan Nazrin Muizzuddin Shah bertitah, wakaf bukan sekadar instrumen kebajikan Islam, malah merupakan amanah yang mampu menjana manfaat berterusan sekiranya diurus secara profesional dan berintegriti.

Baginda bertitah, sejarah membuktikan institusi wakaf telah memainkan peranan besar dalam membangunkan tamadun Islam melalui pembinaan universiti, hospital, perpustakaan, sekolah serta pelbagai kemudahan awam yang terus memberi manfaat kepada masyarakat merentas generasi.

Menurut baginda, antara cabaran utama yang perlu ditangani ketika ini ialah masih terdapat aset wakaf yang tidak dimanfaatkan sepenuhnya akibat kelemahan pengurusan, rekod yang tidak lengkap serta pertikaian pemilikan.

Justeru, baginda menegaskan pentadbir wakaf perlu melihat tanggungjawab tersebut sebagai satu amanah yang menuntut kebertanggungjawaban tinggi, termasuk memastikan setiap aset diurus secara telus, direkodkan dengan baik dan dilaburkan secara bijaksana demi kepentingan masyarakat.

Sultan Nazrin turut menekankan kepentingan memanfaatkan teknologi serta instrumen kewangan Islam moden seperti wakaf tunai dan platform digital bagi memperluaskan penyertaan masyarakat dalam amalan berwakaf, di samping meningkatkan ketelusan pengurusan dana wakaf.

Pada masa sama, baginda mencadangkan supaya diwujudkan satu kumpulan kerja antarabangsa bagi membangunkan prinsip tadbir urus wakaf yang boleh diguna pakai secara sukarela oleh institusi wakaf di seluruh dunia.

Selain itu, baginda turut mencadangkan pembangunan platform wakaf tunai digital yang telus, pelaksanaan projek perintis wakaf bagi kelestarian alam sekitar di rantau ASEAN, serta penerapan prinsip keadilan, keseimbangan dan amanah dalam setiap piagam institusi wakaf.

Baginda bertitah demikian ketika merasmikan International Da’wah Convention 2026 yang berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), hari ini, bertemakan “Reimagining Waqf: Barakah, Governance and Sustainable Ummah Development”.

Kredit foto: Department of Usul al-Din & Comparative Religion & Philosophy

WhatsApp
Scroll to Top