Oleh: Muhammad Suhairi Fakri
KUALA LUMPUR, 23 Julai 2026 – Humane Economy Global Discourse (HEGD) 2026 melabuhkan tirainya hari ini selepas berlangsung selama dua hari dengan pelbagai sesi dialog yang mencetuskan pemikiran, menghimpunkan lebih 750 delegasi, lebih 40 penceramah dan moderator, serta peserta dari Malaysia dan seluruh dunia bagi memajukan visi bersama ke arah ekonomi yang lebih manusiawi, inklusif dan berteraskan nilai.
Berlangsung dengan tema “Reclaiming Humanity for Shared Prosperity“, HEGD 2026 diakhiri dengan Majlis Penutupan Rasmi yang disempurnakan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Dr. Zulkifli Hasan sekali gus menandakan kejayaan penganjuran wacana antarabangsa sulung Malaysia yang didedikasikan kepada pembangunan ekonomi manusiawi.

Dalam ucapan penutupnya, Zulkifli berkata HEGD merupakan satu gerakan yang membawa dimensi baharu kepada pembangunan ekonomi dengan mengangkat aspek kemanusiaan, selaras dengan aspirasi yang digagaskan oleh Perdana Menteri dan digerakkan oleh Forum Ekonomi Manusiawi sejak lima tahun lalu.
“Dalam keadaan dunia yang berdepan pelbagai cabaran, ketidaktentuan dan pergolakan, kita memerlukan nilai dan etika sebagai kompas moral kepada ekonomi. Ekonomi manusiawi bertujuan mengembalikan dimensi kemanusiaan dalam ekonomi dengan berteraskan prinsip etika, akhlak, adab dan keadilan,” katanya.
Beliau berkata pendekatan ekonomi manusiawi bukan sahaja penting dalam bidang pendidikan ekonomi, malah perlu diterapkan dalam sektor industri serta kalangan pembuat dasar bagi memastikan pembangunan yang lebih adil dan seimbang.

“Ekonomi tanpa jiwa adalah ekonomi yang kehilangan arah. Justeru, ekonomi manusiawi bertujuan mengembalikan nilai kemanusiaan dalam sistem ekonomi agar manfaat pembangunan dapat dinikmati secara lebih adil dan seimbang,” katanya.
Beliau turut berharap resolusi yang diumumkan pada penutupan HEGD 2026 dapat diteliti dan digerakkan pelaksanaannya melalui kerjasama semua pihak.
Dalam pada itu, anjuran oleh Forum Ekonomi Manusiawi (FEM), HEGD 2026 menerima sambutan yang amat menggalakkan daripada peserta tempatan dan antarabangsa. Wacana selama dua hari itu menarik lebih 750 peserta, melebihi kapasiti asal yang dirancang.

HEGD turut menghimpunkan penceramah dan delegasi dari United Kingdom, Amerika Syarikat, Jerman, Perancis, India, Indonesia, Kemboja serta beberapa negara di Afrika dan Asia Barat, mencerminkan peningkatan minat antarabangsa terhadap pembangunan sistem ekonomi yang meletakkan maruah insan, kesejahteraan sosial dan kemakmuran bersama sebagai teras utama.
Forum ini menghimpunkan wakil kerajaan, sektor perniagaan, institusi akademik, pertubuhan masyarakat sivil, organisasi berteraskan agama dan komuniti bagi memperkukuh kerjasama dalam menangani cabaran ekonomi dan sosial yang semakin kompleks.




