KUALA LUMPUR, 22 Julai (IKIM) – Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) menyatakan sokongan penuh terhadap titah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah agar negara-negara Islam memperkukuh tadbir urus serta pembangunan inklusif berteraskan prinsip “Everyone Matters”.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Dr. Zulkifli Hasan berkata, seruan Baginda yang disampaikan sempena Persidangan Dunia Ke-8 Pemikiran dan Tamadun Islam (WCIT 2026) amat bertepatan dengan aspirasi Islam yang mengangkat prinsip Maqasid Syariah dan karamah insaniah dalam menjamin keadilan sosial, memelihara kemaslahatan ummah serta menjaga kebajikan rakyat.
Menurut beliau, kerajaan komited memastikan pengurusan institusi dan perbelanjaan awam dilaksanakan berasaskan integriti, itqan atau kesempurnaan kerja serta akauntabiliti bagi menjamin tadbir urus yang telus dan berkesan.
Beliau berkata, setiap amanah dan kuasa yang dipikul perlu dilaksanakan dengan penuh tanggungjawab, sikap rendah hati serta keprihatinan terhadap keluhan rakyat, di samping menguruskan harta awam dengan berlandaskan nilai moral demi kesejahteraan ummah.
Sehubungan itu, Zulkifli menyeru seluruh agensi agama serta umat Islam supaya terus membudayakan etika kerja yang berhemah, memperkukuh perpaduan sosial dan memperluaskan kerjasama serta perkongsian ilmu yang bermanfaat.
Katanya, usaha berterusan itu penting dalam membina masyarakat yang mampan, sekali gus memartabatkan tamadun Islam yang membawa rahmat, keadilan dan kemakmuran kepada seluruh masyarakat.
Kenyataan itu dikeluarkan bagi menyatakan pendirian Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) susulan titah Sultan Nazrin Muizzuddin Shah sempena Persidangan Dunia Ke-8 Pemikiran dan Tamadun Islam (WCIT 2026).




