KERAJAAN PERKUKUH KESIAPSIAGAAN FIZIKAL, MENTAL DAN KESIHATAN JEMAAH HAJI SERTA UMRAH

KUALA LUMPUR, 22 Julai (IKIM) – Kerajaan menerusi Lembaga Tabung Haji (TH) terus memperkukuh usaha meningkatkan kesiapsiagaan fizikal, mental dan kesihatan bakal jemaah haji serta umrah sebagai sebahagian daripada syarat istito’ah atau kemampuan menunaikan ibadah haji.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Dr. Zulkifli Hasan berkata, usaha berterusan itu sejajar dengan komitmen kerajaan memastikan setiap bakal jemaah membuat persediaan rapi sebelum berangkat ke Tanah Suci.

Beliau berkata, Operasi Haji Musim 1447H/2026M telah tamat dengan lancar hasil perancangan awal yang teliti serta penambahbaikan berterusan, sekali gus membolehkan Tabung Haji menerima pengiktirafan antarabangsa tertinggi “Labaitom Diamond Award” buat kali kedua berturut-turut.

Menurut beliau, antara inisiatif yang dilaksanakan ialah pemberian notifikasi awal kepada bakal jemaah seawal dua tahun sebelum giliran menunaikan haji bagi membolehkan mereka membuat pemeriksaan kesihatan dan mengamalkan gaya hidup sihat.

Selain itu, TH turut menambah baik modul bimbingan kesihatan menerusi Kursus Asas Haji, Kursus Intensif Haji dan Kursus Perdana Haji, di samping meneruskan program ‘Thoriq Ya Hajj’, iaitu cabaran berjalan kaki secara maya yang diperkenalkan sejak 2025 bagi meningkatkan tahap kecergasan dan stamina bakal jemaah.

Beliau berkata, kempen kesedaran mengenai aspek kesihatan fizikal, mental dan emosi juga diperkukuh melalui temu bual media bersama pakar kesihatan, infografik serta pelbagai kandungan media sosial.

Di Tanah Suci pula, TH menempatkan petugas perubatan daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), termasuk pakar psikologi, fisioterapi dan kaunselor bagi memastikan kesihatan, kebajikan serta keselamatan jemaah sentiasa terpelihara.

Tambah beliau, semua jemaah haji Muassasah TH turut dilindungi di bawah skim perlindungan takaful yang merangkumi manfaat kematian, kemalangan, rawatan, kelewatan penerbangan, kehilangan bagasi dan bantuan pengebumian tertakluk kepada syarat yang ditetapkan.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan pada Mesyuarat Kedua, Penggal Kelima, Parlimen Kelima Belas di Dewan Rakyat, hari ini.

WhatsApp
Scroll to Top