SELANGOR SASAR LEBIH 40,000 PENGUNJUNG MENERUSI SELANGOR TRAVEL FAIR 2026

PETALING JAYA, 14 Julai (IKIM) – Tourism Selangor akan menganjurkan Selangor Travel Fair 2026 pada 25 dan 26 Julai ini di Central Market Kuala Lumpur sebagai usaha berterusan merancakkan sektor pelancongan negeri menjelang Tahun Melawat Selangor 2026 (VSY2026).

Ketua Pegawai Eksekutif Tourism Selangor, Chua Yee Ling berkata pameran yang memasuki edisi ketiga itu dijangka menarik lebih 40,000 pengunjung serta menghimpunkan 35 pempamer yang menawarkan pelbagai produk pelancongan, tarikan, penginapan dan pengalaman pelancongan dari seluruh Selangor.

Menurut beliau, industri pelancongan Selangor terus menunjukkan prestasi memberangsangkan apabila merekodkan 8.42 juta ketibaan pelancong pada tahun 2025, dengan 68 peratus terdiri daripada pelancong domestik manakala 32 peratus merupakan pelancong antarabangsa.

China kekal menjadi pasaran antarabangsa terbesar bagi Selangor dengan menyumbang 24.1 peratus daripada jumlah ketibaan pelancong asing, diikuti Singapura sebanyak 13.4 peratus dan Indonesia 6.7 peratus.

Beliau berkata pencapaian tersebut mencerminkan komitmen kukuh semua pihak termasuk pemain industri, rakan strategik, organisasi media dan pencipta kandungan dalam meletakkan Selangor sebagai destinasi pilihan pelancong tempatan serta antarabangsa.

Terdahulu, Tourism Selangor mengadakan Majlis Hi-Tea Media dan Pempengaruh 2026 sebagai tanda penghargaan kepada pengamal media serta pencipta kandungan atas sokongan berterusan mereka dalam mempromosikan industri pelancongan Selangor dan kempen Tahun Melawat Selangor 2026.

Selangor Travel Fair 2026 mendapat sokongan Farm Fresh sebagai penaja utama dan rakan strategik, selain kerjasama AVIS Budget Malaysia, Tourism Malaysia Wilayah Tengah, PADAT, Media Selangor dan Batik Air.

WhatsApp
Scroll to Top