TUNKU AZIZAH RASMI KLINIK PERUBATAN SUKAN UIAM, PENJENAMAAN TiARA SEMPENA ULANG TAHUN KE-10 SASMEC

Oleh: Muhammad Suhairi Fakri

KUANTAN, 20 Julai (IKIM) – Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenan merasmikan Klinik Perubatan Sukan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (ISMEC) serta penamaan semula Unit Reproduktif Sultan Ahmad Shah Medical Centre @IIUM (SASMEC @IIUM) kepada Tunku Azizah Advanced Reproductive Unit SASMEC @IIUM (TiARA) bersempena sambutan ulang tahun ke-10 pusat perubatan itu, hari ini.

Tengku Ampuan Pahang bertitah perasmian ISMEC dan penamaan semula TiARA bukan sekadar melambangkan pembukaan sebuah klinik baharu atau penjenamaan semula sebuah unit, malah mencerminkan komitmen berterusan SASMEC @IIUM dalam memperkasakan inovasi, kecemerlangan dan penyampaian perkhidmatan kesihatan holistik yang berpaksikan prinsip Maqasid Syariah.

“Majlis pada hari ini bukan sekadar merasmikan sebuah klinik baharu atau memperkenalkan identiti baharu. Sebaliknya, ia melambangkan komitmen berterusan SASMEC @IIUM dalam memperkukuh inovasi, kecemerlangan dan perkhidmatan kesihatan holistik agar institusi ini terus memenuhi keperluan masyarakat yang sentiasa berkembang berlandaskan prinsip Maqasid Syariah,” titah baginda pada majlis tersebut.

Baginda turut menzahirkan penghargaan kepada Kerajaan dan Kementerian Pendidikan Tinggi atas sokongan berterusan terhadap pembangunan SASMEC @IIUM, khususnya kelulusan pembinaan Wad Psikiatri di bawah Rolling Plan 1 Rancangan Malaysia Ke-13.

“Beta juga berbesar hati apabila cadangan yang pernah saya kemukakan bagi meningkatkan kapasiti hospital daripada 300 kepada 600 katil menerima maklum balas yang positif daripada Kementerian. Beta berharap inisiatif penting ini dapat direalisasikan dalam masa terdekat bagi memperkukuh keupayaan SASMEC @IIUM memenuhi permintaan yang semakin meningkat terhadap perkhidmatan kesihatan pakar,” titah baginda.

Baginda beritah, peluasan kapasiti hospital itu akan memperkukuh keupayaan SASMEC @IIUM memenuhi permintaan yang semakin meningkat terhadap perkhidmatan kesihatan pakar, sekali gus memberi manfaat kepada rakyat Pahang dan negara.

Pada majlis sama, Tengku Ampuan Pahang turut berkenan mengurniakan cenderahati kepada keluarga yang berjaya memperoleh cahaya mata menerusi rawatan di TiARA sebelum bercemar duli melawat kemudahan di ISMEC.

SASMEC @IIUM yang ditubuhkan pada 20 Julai 2016 kini memasuki sedekad penubuhannya dengan pelbagai pencapaian termasuk pelancaran Pusat Susu Bonda Halimatussaadia pada 2022, iaitu pusat susu ibu patuh syariah pertama di negara ini yang diiktiraf dalam Malaysia Book of Records, selain memperluaskan perkhidmatan klinikal pakar, menerima pelbagai pengiktirafan serta memperkukuh kerjasama dengan komuniti dan pihak berkepentingan.

Majlis yang berlangsung di Auditorium Utama SASMEC @IIUM itu turut diserikan dengan keberangkatan Yang Hormat Mulia Che Puan Panglima Puteri Hajah Suraiya Afzan binti Dato’ Indera Haji Mohamed Moiz.

Hadir sama pada majlis tersebut ialah Rektor UIAM, Prof. Emeritus Datuk Dr. Osman bin Bakar; Pengarah Hospital SASMEC @IIUM, Prof. Dato’ Dr. Mohamed Saufi bin Awang; Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Bioteknologi dan Pendidikan Negeri Pahang, Dato’ Sri Ir. Haji Mohd. Soffi Tan Sri Abd. Razak; mewakili Menteri Besar Pahang, Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Negeri Pahang, Dato’ Ir. Razali Kassim; Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan- Badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, Tuan Fadzli bin Mohamad Kamal, Ahli Lembaga Gabenor UIAM (BOG), Jawatankuasa Pengurusan Universiti (UMC), dan kakitangan UIAM.

WhatsApp
Scroll to Top