KUALA LUMPUR, 17 Julai (IKIM) – Sempena sambutan ulang tahun ke-25, IKIMfm bakal menganjurkan program Uji Bakat Terbuka Penerbit dan Penyampai Radio IKIMfm (Contract for Service) bagi mencari bakat baharu yang berpotensi memperkukuh landskap penyiaran radio Islam di negara ini.
Program pencarian bakat itu bertujuan mencungkil individu yang mempunyai minat, bakat dan komitmen dalam bidang penyiaran untuk menyertai keluarga besar IKIMfm sebagai penerbit dan penyampai radio.
Inisiatif berkenaan juga merupakan sebahagian daripada usaha IKIMfm memperkasa legasi penyiaran yang telah mewarnai industri radio negara selama 25 tahun menerusi kandungan yang mendidik, berinformasi dan menginspirasikan masyarakat.
Uji bakat ini akan dilaksanakan dalam dua peringkat. Peringkat pertama melibatkan sesi penilaian personaliti, kemahiran komunikasi, kreativiti dan pengucapan di hadapan panel penilai.
Calon yang berjaya melepasi peringkat tersebut akan dipanggil ke peringkat kedua untuk menjalani sesi uji bakat di konti IKIMfm yang memberi penekanan kepada teknik penyampaian, kawalan suara, kreativiti, pengendalian kandungan serta kesediaan mengendalikan siaran radio secara profesional.
Melalui program itu, para peserta turut didedahkan kepada peranan sebenar seorang penerbit dan penyampai radio dalam menghasilkan kandungan yang berkualiti, beretika serta memberi impak positif kepada pendengar.

Pengarah Pusat Media IKIM, Haji Ahmad Fuad Mat Ali berkata program itu membuka peluang kepada golongan muda yang mempunyai minat dan potensi dalam bidang penyiaran Islam untuk menyerlahkan bakat mereka.
Menurut beliau, IKIMfm memerlukan pelapis yang bukan sahaja berkebolehan sebagai penyampai, malah mampu menjadi penerbit yang kreatif, berwibawa dan berdaya saing bagi memenuhi keperluan industri media yang sentiasa berkembang.
Beliau berkata, usaha itu selaras dengan aspirasi IKIM untuk melahirkan lebih ramai pengamal media yang berintegriti, berilmu dan mampu menyampaikan kandungan yang membawa nilai positif kepada masyarakat.
Katanya, pencarian bakat baharu ini juga diharap dapat menyumbang kepada agenda IKIM untuk menjadi Hub Media Halal Global, di samping meneruskan kecemerlangan IKIMfm sebagai stesen radio Islam yang menjadi “Inspirasi Utama Anda” sejak 25 tahun lalu.
Program uji bakat terbuka ini merupakan antara pengisian utama sambutan 25 Tahun IKIMfm yang membawa tema “IKIMfm 25 Tahun, Inspirasiku.”
#beritaikim #ikim #ikimfm #ujibakat #25tahunikimfm




