KUALA LUMPUR, 16 Julai (IKIM) – Dunia akademik antarabangsa kehilangan seorang tokoh sarjana terkemuka dalam bidang pengajian Islam dan hubungan antarabangsa apabila Profesor John L. Esposito dilaporkan meninggal dunia hari ini.
Berita pemergian beliau dikongsikan oleh tokoh ilmuwan Islam, Tan Sri Profesor Emeritus Dr. Osman Bakar, sekali gus mengundang rasa dukacita dalam kalangan ahli akademik serta cendekiawan di seluruh dunia.
Antara yang menzahirkan penghargaan terhadap jasa Allahyarham ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr. Zulkifli Hasan yang berkongsi pengalaman bertemu Profesor Esposito ketika mengadakan lawatan ke Universiti Georgetown, Washington D.C., sewaktu Allahyarham masih berkhidmat sebagai Pengarah Pusat Alwaleed bagi Persefahaman Muslim-Kristian.
Menurut beliau, Profesor Esposito terkenal dengan pandangan yang mendalam mengenai identiti dan keperibadian umat Islam di peringkat global, khususnya dalam membezakan perkembangan masyarakat Islam di dunia Arab, bukan Arab dan Barat.

Katanya, Allahyarham meletakkan harapan tinggi terhadap dunia Islam bukan Arab, terutama di Asia Tenggara, kerana keunikan identiti, budaya dan sifat keterbukaan masyarakatnya yang mampu menyumbang kepada pembangunan tamadun Islam yang lebih progresif.
Beliau berkata, pandangan tersebut selari dengan idea yang diketengahkan Profesor Esposito menerusi karya terkenal beliau, Who Speaks for Islam, yang menekankan keperluan kepada kepimpinan Islam yang lebih dinamik dan progresif dari negara-negara Islam bukan Arab.
Dalam pertemuan itu, kedua-duanya turut bertukar pandangan mengenai perkembangan demokrasi di dunia Islam serta landskap politik Amerika Syarikat.
Zulkifli berkata beliau berpandangan bahawa cabaran yang dihadapi negara-negara Islam dalam membangunkan sistem demokrasi mempunyai persamaan dengan pengalaman Barat yang melalui proses panjang, termasuk revolusi dan konflik sebelum mencapai kematangan politik.
Menurutnya, Profesor Esposito bersetuju dengan pandangan itu sambil mengemukakan beberapa contoh model demokrasi di negara Islam seperti Tunisia, Turkiye dan Malaysia.

Beliau turut mengimbas bahawa Allahyarham, dalam suasana santai yang diselitkan dengan humor intelektual, pernah menyuarakan harapan agar berlaku perubahan besar dalam landskap politik Malaysia dan berharap rakan baiknya, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berpeluang memimpin negara.
Zulkifli berkata pengalaman berharga bersama Profesor Esposito itu turut dirakamkan dalam bukunya yang berjudul Islam in the West, Muslims in the East.
Profesor John L. Esposito diiktiraf sebagai antara sarjana Barat paling berpengaruh dalam kajian Islam kontemporari dan hubungan antara dunia Islam dengan Barat. Sepanjang kerjayanya, beliau menghasilkan puluhan buku yang menjadi rujukan utama di institusi pengajian tinggi di seluruh dunia serta banyak menyumbang kepada usaha memperkukuh persefahaman antara agama dan dialog antara tamadun.
Pemergian beliau disifatkan sebagai satu kehilangan besar kepada dunia intelektual dan usaha mempromosikan kefahaman yang lebih mendalam mengenai Islam di peringkat antarabangsa.
Kredit foto: FB Zulkifli Hasan
#beritaikim #ikim #ikimfm #zulkiflihasan #eposito




