BENTENG AKIDAH DIPERKUKUH, KERAJAAN PERHEBAT TINDAKAN TANGANI AJARAN SESAT – DR ZULKIFLI

KUALA LUMPUR, 16 Julai – Kerajaan terus memperkukuh usaha menangani penularan ajaran sesat menerusi pendekatan penguatkuasaan, pemantauan digital serta program pemulihan akidah yang dilaksanakan secara bersepadu melibatkan pelbagai agensi.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Dr. Zulkifli Hasan berkata, Kerajaan Persekutuan melalui Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dengan kerjasama Jabatan Agama Islam Negeri (JAIN) sentiasa proaktif, konsisten dan tegas dalam memantau serta mengambil tindakan terhadap mana-mana doktrin atau dakyah yang menyeleweng daripada pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Ahli Parlimen Jerai, Tuan Sabri Azit, di Dewan Rakyat hari ini.

Menurut beliau, antara cabaran utama yang dihadapi kerajaan ketika ini ialah perubahan kaedah penyebaran ajaran sesat yang semakin beralih ke platform digital, termasuk media sosial dan aplikasi pesanan tertutup.

“Peralihan ke alam maya menyukarkan usaha pengesanan awal oleh agensi penguat kuasa kerana penyebaran dakyah kini bergerak lebih pantas dan melangkaui sempadan geografi,” katanya.

Beliau turut menjelaskan bahawa terdapat kumpulan tertentu yang berselindung di sebalik program pembangunan kendiri, aktiviti kebajikan, rawatan alternatif dan pengajian agama tidak formal bagi menarik pengikut. Malah, sesetengah fahaman disampaikan melalui elemen motivasi, kerohanian, psikologi, teori konspirasi atau pengaruh tokoh tertentu sehingga mengelirukan masyarakat.

Dalam tempoh tahun 2025 hingga pertengahan 2026, beberapa tindakan penguatkuasaan berjaya dilaksanakan hasil kerjasama strategik antara JAKIM, JAIN, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), Majlis Keselamatan Negara (MKN), Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

Antara tindakan tersebut ialah penahanan 288 individu yang dikaitkan dengan Jemaah Ahmadiyyah Qadiani (JAQ) dalam operasi bersama Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS) dan PDRM di Sabah pada 31 Mei 2026.

Selain itu, pada 27 Jun lalu, Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) bersama PDRM, JIM, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) serta Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) menyerbu sebuah markas Syiah di Pusat Perdagangan Lagoon Perdana, Petaling Jaya. Operasi tersebut membawa kepada penahanan 226 warga asing terdiri daripada 147 lelaki, 51 wanita dan 28 kanak-kanak dari Pakistan, India dan Bangladesh.

Mengulas langkah intervensi, Dr. Zulkifli berkata kerajaan memberi penekanan kepada usaha pemulihan akidah secara menyeluruh dan berterusan.

Antara pendekatan yang dilaksanakan ialah penyediaan khidmat nasihat secara berkala kepada ahli dan pemimpin kumpulan yang terlibat, penempatan individu yang diperintahkan oleh Mahkamah Syariah ke Pusat Pemulihan Akidah yang diwartakan oleh kerajaan negeri, serta pelaksanaan program rehabilitasi bagi memulihkan kefahaman dan pegangan akidah mereka.

Beliau menegaskan bahawa usaha memperkukuh akidah masyarakat bukanlah agenda bermusim, sebaliknya memerlukan komitmen berterusan daripada semua pihak.

Sehubungan itu, orang ramai diseru untuk terus memperkukuh pegangan akidah dengan mengikuti kelas pengajian agama yang berautoriti di masjid dan surau di seluruh negara sebagai benteng utama dalam menghadapi ancaman fahaman yang menyeleweng.

#beritaikim #ikim #ikimfm

WhatsApp
Scroll to Top