KUALA LUMPUR, 16 Julai (IKIM) – Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) menegaskan bahawa pihaknya tidak pernah melantik atau memberi kuasa kepada mana-mana pertubuhan untuk menguruskan, mengesahkan atau mengeluarkan sebarang Surat Perakuan Nikah bagi urusan perkahwinan orang Islam di Wilayah Persekutuan.
JAWI dalam satu kenyataan memaklumkan bahawa pelaksanaan urusan pernikahan, perceraian dan ruju’ orang Islam di Wilayah Persekutuan adalah tertakluk kepada Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984 [Akta 303].
Menurut kenyataan itu, pelantikan pegawai yang menguruskan urusan berkenaan, termasuk Ketua Pendaftar, Pendaftar Kanan, Pendaftar dan Penolong Pendaftar Perkahwinan, Perceraian dan Ruju’ Orang Islam di Wilayah Persekutuan, berada di bawah bidang kuasa Yang di-Pertuan Agong sebagaimana diperuntukkan di bawah Seksyen 28 Akta 303.
“JAWI tidak berbidang kuasa untuk melantik mana-mana pertubuhan bagi menguruskan urusan tersebut, dan sememangnya tidak pernah membuat pelantikan sedemikian,” menurut kenyataan itu.
Sehubungan itu, JAWI menasihatkan umat Islam khususnya di Wilayah Persekutuan supaya sentiasa membuat semakan dan mendapatkan pengesahan daripada JAWI atau pihak berkuasa agama Islam negeri sebelum menerima atau menggunakan sebarang dokumen pernikahan yang diragui kesahihannya.
JAWI menegaskan langkah tersebut penting bagi memastikan kesahihan dokumen serta mengelakkan sebarang kekeliruan dan implikasi dari sudut perundangan serta hukum syarak.




