Oleh: Muhammad Suhairi Fakri
KUALA LUMPUR , 10 Julai (IKIM) – Co-opbank Pertama (CBP) menganjurkan Program Kendurian CBP Bersama Media sebagai tanda penghargaan kepada pengamal media yang sentiasa memberi sokongan terhadap penyampaian maklumat dan aktiviti bank itu kepada masyarakat.
Program yang berlangsung itu menyajikan suasana santai dan mesra apabila pengurusan CBP bersama pengamal media diraikan menerusi jamuan istimewa berasaskan raja buah iaitu durian selain pelbagai juadah termasuk kambing bakar, rambutan serta hidangan sampingan yang disediakan sepanjang majlis.

Ketua Pengurusan Strategik CBP, Syaiful Arief Syah Mohamed Said berkata program berkenaan merupakan acara tahunan yang memasuki penganjuran kali kelima sebagai platform menghargai jasa pengamal media yang disifatkannya sebagai rakan komunikasi penting kepada organisasi.
“Program ini sudah masuk tahun kelima dan diadakan sebagai tanda penghargaan kepada rakan-rakan media yang sentiasa bersama CBP. Media merupakan rakan strategik dalam penyampaian maklumat, justeru hubungan baik ini perlu terus diperkukuhkan. Kami berharap program seperti ini akan diteruskan pada tahun-tahun akan datang bagi memastikan jalinan kerjasama yang terjalin tidak terhenti di sini,” katanya.

Beliau berkata CBP turut merancang pelbagai program susulan bersama pengamal media, termasuk menganjurkan Karnival Pickleball yang dijangka diadakan sekitar September atau Oktober depan sempena sambutan Bulan Sukan Negara bagi menghimpunkan organisasi media lain untuk merapatkan ukhuwah.

Menurutnya, penganjuran program berkenaan bukan sahaja bertujuan mengukuhkan hubungan antara CBP dan media, malah menjadi sebahagian daripada inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) bank itu dalam mempererat hubungan sesama pengamal media serta mewujudkan jaringan profesional yang lebih kukuh.




