PEMIKIRAN IMAM AL-MATURIDI RELEVAN HADAPI CABARAN ERA KECERDASAN BUATAN – KETUA PENGARAH IKIM

SAMARKAND, 10 Julai (IKIM) – Pemikiran Imam al-Maturidi terus relevan sebagai asas kepada pembinaan masyarakat Islam yang sederhana, rasional dan berteraskan panduan wahyu dalam mendepani cabaran dunia moden, termasuk perkembangan pesat teknologi kecerdasan buatan (AI).

Ketua Pengarah Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), Mohamed Azam Mohamed Adil berkata, pendekatan Imam al-Maturidi yang mengharmonikan peranan akal dan wahyu mampu menjadi panduan penting kepada umat Islam dalam berinteraksi dengan teknologi tanpa mengabaikan disiplin ilmu, autoriti syariah serta tanggungjawab moral.

Beliau menyampaikan pembentangan bertajuk The Study of Imam Maturidi and the Maturidi School in the Contemporary World dalam Plenary Session II sempena persidangan The Legacy of Imam al-Maturidi: A Foundation of Moderation, Tolerance, and Enlightenment yang berlangsung di Samarkand.

Dalam pembentangan itu, Mohamed Azam mengetengahkan konsep guided reason (akal yang dipandu wahyu) dan digital taqlid sebagai kerangka pemikiran bagi membantu masyarakat memahami bagaimana teknologi moden, termasuk kecerdasan buatan dan algoritma digital, perlu dimanfaatkan secara beretika serta berpandukan nilai-nilai Islam.

Beliau menegaskan, warisan intelektual Imam al-Maturidi bukan sekadar mempunyai nilai sejarah, malah terus menjadi rujukan penting dalam membentuk pemikiran Islam yang seimbang, sederhana dan berupaya menangani cabaran semasa.

Persidangan itu turut menghimpunkan para sarjana dan cendekiawan Islam dari pelbagai negara bagi membincangkan sumbangan pemikiran Imam al-Maturidi terhadap pembangunan tamadun Islam serta isu-isu kontemporari.

WhatsApp
Scroll to Top