Oleh: Muhammad Suhairi Fakri
KUALA KANGSAR, 8 Julai (IKIM) – Ketika suhu cuaca panas sering dikaitkan dengan kesan buruk terhadap sektor pertanian, siapa sangka keadaan itu sebenarnya memberi satu sisi positif kepada raja buah apabila membantu meningkatkan pengeluaran serta kualiti durian di negara ini.
Menerusi tinjauan khas di Pusat Penyelidikan MARDI Kuala Kangsar, sekumpulan 60 pengamal media berpeluang melihat sendiri hasil penyelidikan dan tanaman durian yang menunjukkan perkembangan memberangsangkan, susulan keadaan cuaca panas pada awal musim yang merangsang proses pembungaan.

Ketua Pengarah MARDI, Datuk Dr. Haji Zabawi Abdul Ghani berkata fenomena cuaca panas seperti yang berlaku ketika ini tidak semestinya memberi kesan negatif kepada semua tanaman kerana durian mempunyai tindak balas tertentu terhadap perubahan cuaca, khususnya dalam proses menghasilkan bunga dan buah.
Menurut beliau, keadaan panas pada waktu siang yang disusuli suhu lebih rendah pada waktu malam menjadi antara faktor penting yang membantu meningkatkan kemanisan buah kerana tumbuhan dapat menukar karbohidrat yang dihasilkan kepada gula.

“Panas ini menyebabkan durian akan berbunga banyak kerana pokok mengalami tekanan. Selepas itu, apabila ada hujan, bunga akan berkembang menjadi buah. Ketika berbuah pula, walaupun cuaca panas tetapi air mencukupi, proses kemanisan buah dapat berlaku dengan lebih baik,” katanya.
Beliau berkata, peningkatan hasil durian tahun ini bukan hanya disebabkan faktor cuaca, tetapi turut dipengaruhi pokok-pokok yang ditanam beberapa tahun lalu kini mula mencapai usia matang dan mengeluarkan hasil, termasuk variasi premium keluaran MARDI.

Mengulas mengenai harga durian yang kini lebih rendah sehingga ada yang dijual secara lelong di beberapa lokasi, Datuk Dr. Zabawi berkata keadaan itu berlaku kerana musim pengeluaran buah berlaku hampir serentak di banyak kawasan, menyebabkan bekalan berada pada tempoh yang sama.




